HULU TERENGGANU – Enggan bergantung harap sepenuhnya kepada kewangan suami, seorang suri rumah dari Felda Mengkawang di sini mengambil inisiatif membuka kedai gunting rambut bermula secara kecil-kecilan di rumah.
Bermula dengan perniagaan kecil-kecilan, Mariani Mohamad, 30, kini mampu menjana pendapatan mencecah RM4,000 sebulan selepas menyewa sebuah lot kedai untuk mengusahakan salun kecantikan aNNy HAN Salon & Vendor di Felda Mengkawang, di sini.
"Mula-mula bisnes dulu saya buat gunting rambut di rumah ibu dan ayah saya di Felda Mengkawang. Waktu tu sambutan ada tetapi dalam jumlah yang kecil dengan pendapatan sekitar RM400 sebulan.
"Sekarang lepas saya menyewa sebuah lot kedai untuk dijadikan pusat gunting rambut sejak Jun lalu, sambutan makin menggalakkan dan pendapatan saya pernah mencecah sehingga RM4,000 sebulan," katanya.
Mariani berkata, dia berterima kasih kerana usaha gigihnya untuk membuka sebuah salun rambut mendapat sokongan daripada beberapa pihak.
"Saya berterima kasih kepada semua pihak terutama pihak Felda dan Empower ECER Hulu Terengganu yang banyak membantu untuk saya bangunkan sebuah perniagaan sebagai sumber rezeki,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Sebelum membuka perniagaan, Mariani sering berulang-alik untuk bekerja serta pernah berjauhan dengan suami dan anaknya sehingga beliau mengambil keputusan berhenti kerja untuk menjadi suri rumah.
Katanya, selepas berhenti kerja, dia mula terfikir untuk mencari pendapatan sendiri kerana baginya untuk jadi perempuan yang berjaya seseorang individu itu perlu pandai berdikari.
"Sejak itulah saya berusaha menambahkan lagi pengetahuan dalam bidang dandanan rambut dan mula memberanikan diri untuk mengikuti Kursus Wellness Spa di empower ECER Hulu Terengganu,
"Selain menambahkan lagi pengalaman dan meningkatkan pendapatan ia juga dapat mempromosikan perkhidmatan yang saya disediakan. Saya juga merancang untuk meluaskan lagi perkhidmatan ke bandar dan ingin memiliki cawangan sendiri,” katanya yang kini sering menerima pelanggan dalam kalangan pelajar sekolah dan masyarakat setempat.