PASIR PUTEH - Pembinaan Terusan Semerak bernilai RM12 juta bakal menjadi penyelamat kepada para penternak ikan di Laguna Semerak di sini yang sering kali berdepan kerugian setiap kali musim tengkujuh akibat sistem perairan tidak teratur di kawasan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim berkata, pembinaan terusan sejauh satu kilometer itu akan melancarkan aliran air sekali gus meningkatkan lagi kandungan oksigen dalam membantu proses tumbesaran ikan yang diternak peserta di Laguna Semerak.
"Saya sudah membawa perkara ini (masalah Laguna Semerak) ke pengetahuan pihak kementerian.
"Masalah Laguna Semerak ini sudah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan insya-ALLAH masalah akan diselesaikan dalam masa terdekat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan sumbangan palet makanan ikan kepada Persatuan Penternakan Ikan Laguna Semerak (PPILS) yang turut dihadiri Pengerusi PPLIS, Mustaffa Bakar di Laguna Semerak di sini hari ini.
Seramai 50 penternak ikan siakap dan kerapu hibrid dalam sangkar Laguna Semerak di sini menerima sumbangan 1,000 beg palet makanan ikan.
Menurutnya, penternak diharap terus bersabar dengan ujian kecil ini dan terus menjadikan Laguna Semerak sebagai lokasi pengeluar ikan dalam sangkar terbesar di negeri ini pada masa akan datang.
"Apabila masalah selesai pengeluaran hasil meningkat 100 peratus ekoran tahap kualiti menjadi lebih baik berbanding sebelum ini.
"Setiap kali tibanya musim tengkujuh kandungan oksigen di dalam air akan menjadi berkurangan menyebabkan ikan banyak mati," katanya.
Sementara itu, katanya, sumbangan palet makanan ikan itu bertujuan meringankan bebanan penternak yang berdepan kerugian besar pada hujung tahun lalu.
"Sumbangan pelet makanan ikan gred A ini membabitkan peruntukkan berjumlah RM100,000 dari kerajaan negeri," katanya.