JOHOR BAHRU - Seorang wanita maut selepas motosikal diboncengnya melanggar lubang di Kilometer 34 Lebuhraya Pasir Gudang di sini semalam.
Dalam kejadian pada jam 6.45 petang, wanita berusia 27 tahun itu cedera parah di muka dan kepala meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Ismail Dollah berkata, ketika kejadian, motosikal yang ditunggang seorang lelaki berusia 31 tahun bersama mangsa dalam perjalanan dari Johor Bahru menghala ke pulang ke rumah di Pasir Gudang.
Iklan
Iklan
"Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Honda RS itu terlanggar lubang yang berada di lorong tengah jalan lalu menyebabkannya hilang kawalan dan mangsa terjatuh atas jalan.
"Kemudian datang sebuah kereta Proton Saga dari arah yang sama, namun sempat mengelak daripada melanggar mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan pada bahagian lutut, bahu dan rusuk.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk bedah siasat, manakala pemandu kereta tersebut yang merupakan lelaki berusia 34 tahun tidak mengalami kecederaan.
"Kes berkenaan disiasat mengikut Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.