Kedah tidak pinggir ADUN pembangkang

Iklan
Muhammad Sanusi (duduk, kanan) bersama ADUN kerajaan menunjukkan buku Belanjawan Kedah 2021 selepas selesai pembentangan di Wisma Darul Aman hari ini.

ALOR SETAR - Buat pertama kalinya, kerajaan Kedah menyediakan peruntukan RM2,000 sebulan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang sebagai perbelanjaan mengurus Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan perkara itu ketika pembentangan Belanjawan Kedah 2021 pada persidangan DUN Kedah di Wisma Darul Aman hari ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bantuan mengurus kepada setiap Pusat Khidmat DUN kerajaan sebanyak RM8,000 sebulan turut diteruskan.

"Kita tidak pinggirkan ADUN pembangkang sebagai komponen sistem demokrasi, ini termasuk menyediakan peruntukan bawah B.02 sebanyak RM1 juta kepada setiap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi kawasan DUN dan portfolio masing-masing.

Iklan

"RM150,000 kepada setiap ADUN kerajaan dan RM100,000 untuk Penyelaras DUN. Ini kerana kita iktiraf peranan ADUN pembangkang,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, peruntukan turut disediakan kepada setiap ADUN pembangkang sebanyak RM50,000 bagi menyantuni golongan memerlukan bantuan di kawasan masing-masing.

Iklan

"Untuk kesejahteraan rakyat dan memastikan tiada penduduk terputus bekalan makanan asas, program Beras Sejahtera diperkenalkan dengan peruntukan RM2.16 juta.

"Melalui program ini, setiap keluarga yang layak diberikan bantuan makanan bernilai RM50 yang akan membantu 100 keluarga di setiap DUN setiap bulan,” katanya.

Menurutnya, Program Anakku Sejahtera diperkenalkan tahun depan dengan peruntukan RM1 juta.

"Setiap kelahiran akan menerima simpanan SSPN (Skim Simpanan Pendidikan Nasional) sebanyak RM100 secara 'one-off' sebagai galakan tabungan awal membiayai kos pengajian. Tabung ini boleh ditunaikan setelah berumur 18 tahun,” katanya.

Beliau berkata, RM24.82 juta disalurkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Kedah bagi membiayai bantuan am bulanan, bantuan bencana, bantuan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) dan rumah orang-orang tua.

"Kerajaan juga menyediakan RM500,000 untuk Tabung Wanita Sejahtera dalam bentuk sumbangan modal.

"Bantuan khas melalui Program Keluargaku Sejahtera turut diperkenalkan bagi mengurangkan beban kewangan penjaga pesakit terlantar dengan bantuan tambahan antara RM100 hingga RM300 mengikut kelayakan pesakit setiap bulan,” katanya.

Katanya, sebanyak RM500,000 disediakan kepada golongan miskin yang memerlukan bantuan untuk membeli peralatan sokongan rawatan perubatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Sultan Abdul Halim, Hospital Sultanah Maliha dan Hospital Kulim.

"Selain itu, sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk membaiki, menyelenggara dan menaik taraf Skim Perumahan Awam.

"RM6.3 juta juga disalurkan kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah untuk melahirkan masyarakat berilmu selain membiayai kos operasi serta menyelenggara 48 bangunan Perpustakaan Desa dan menambah baik kemudahan digital di perpustakaan daerah,” katanya.