Agong zahir ucapan takziah kepada keluarga Zaleha

Iklan
Ucapan takziah Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong kepada keluarga Zaleha Ismail. - Foto Facebook Istana Negara

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Tan Sri Zaleha Ismail yang meninggal dunia semalam.

Dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan dukacita dengan pemergian Allahyarham dan berharap seluruh keluarga bersabar serta tabah menghadapi suasana sedih ini.

Iklan
Iklan

"Seri Paduka Baginda berdua turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negara.

"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan para solihin," demikian menurut hantaran itu.

Iklan

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong amat menyanjung tinggi dan menghargai khidmat bakti serta jasa Allahyarham kepada masyarakat dan negara.

Allahyarham Zaleha pernah menjawat jawatan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat pada 1995 serta Timbalan Menteri Pengangkutan pada tahun yang sama.

Iklan

Selain itu, Allahyarham pernah dilantik sebagai Naib Ketua Wanita UMNO pada tahun 1976 sehingga 1980 dan Ketua Wanita UMNO Kuala Lumpur pada tahun 1977 sehingga 1978.

Allahyarham juga pernah menjadi pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selama 10 tahun dari 1968 hingga 1978 bermula sebagai pegawai ensiklopedia dan kemudian menjadi Timbalan Ketua Bahagian Buku Pelajaran.

Zaleha, 84, meninggal dunia di Hospital Tawakal, Kuala Lumpur kira-kira jam 8.15 malam semalam setelah mengalami pelbagai komplikasi kesihatan.

Allahyarham dikurniakan tiga cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama suaminya Allahyarham Abd Rahman Ali iaitu Datuk Dr Zurin Adnan, Zurin Azlan dan Zurin Azrai.