Pengawal keselamatan cedera diserang 30 lelaki

Iklan
Antara barangan yang digunakan sebagai senjata yang dirampas dari sembilan suspek yang ditahan. Gambar kecil: Noorzainy Mohd Noor

KEPALA BATAS - Seorang pengawal keselamatan mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan akibat dipukul sekumpulan lelaki di sebuah flat di Taman Bagan, Butterworth pada jam 10.30 malam tadi.

Ketua Polis Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian berlaku pada jam 10.30 malam tadi apabila kira-kira 30 lelaki berusia awal 20-an datang ke rumah mangsa dalam keadaan marah dan membawa beberapa senjata seperti kayu hoki, besi serta kayu panjang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati ia berpunca apabila anak mangsa sebelum itu menegur sebuah keluarga kerana memasang muzik terlalu kuat.

"Mereka ke rumah mangsa di tingkat dua flat tersebut untuk mencari anak lelaki mangsa yang berusia 26 tahun itu kerana tidak berpuas hati dengan tindakan menegur penghuni salah sebuah rumah yang memasang muzik terlalu kuat.

Iklan

"Kumpulan itu tidak berpuas hati selepas mangsa memberitahu anaknya tiada di rumah ketika itu. Mereka tidak percaya dan berang kerana menganggap mangsa menipu lalu memaki hamun mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, mangsa kemudiannya memarahi kumpulan lelaki itu kerana bersikap biadab terhadap orang tua sepertinya.

Iklan

"Isterinya yang melihat kejadian tersebut terus menarik mangsa dan mengunci pintu pagar namun mereka sempat menjolok senjata yang dibawa dari celah pintu pagar.

"Mereka terus memukul mangsa sehingga mengalami kecederaan di kepala dan pipi. Kumpulan itu turut merosakkan sebuah motosikal milik anak lelaki mangsa yang diletakkan di bawah flat," katanya.

Noorzainy berkata, susulan itu, sembilan lelaki berusia lingkungan 19 hingga 22 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

"Polis turut merampas beberapa barangan yang digunakan sebagai senjata antaranya topi keledar; kayu hoki, batang besi dan kayu panjang. Kita juga sedang mengesan beberapa lagi suspek bagi membantu siasatan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.