SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian bekas Menteri Perpaduan dan Pembangunan Masyarakat, Allahyarham Tan Sri Zaleha Ismail.
Perutusan takziah itu dizahirkan menerusi kemas kini di laman Facebook Selangor Royal Office hari ini.
"Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dengan rasa dukacita berkenan menzahirkan perutusan takziah di atas kembalinya ke Rahmatullah bekas Menteri Perpaduan dan Pembangunan Masyarakat, Tan Sri Zaleha Ismail," katanya.
Berdasarkan perutusan berkenaan, Allahyarham Zaleha disifatkan sebagai antara tokoh pemimpin wanita tersohor tanah air yang pernah menjawat jawatan Menteri Perpaduan dan Pembangunan Masyarakat sejak tahun 1995 hingga 1999.
Selain itu, anak kelahiran Kuala Langat itu juga merupakan pemimpin politik tempatan yang banyak berjasa kepada rakyat dan pernah menduduki kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang pada tahun 1978 serta menjadi Ahli Parlimen Gombak pada tahun 1987.
"Sikap Allahyarham yang mudah mesra dan peramah menyebabkan ramai yang menyenanginya sehingga beliau pernah dilantik sebagai Penaung Kehormat Persatuan Ibu Tunggal Negeri Selangor.
"Di atas jasa dan bakti sepanjang hayatnya, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah telah mengurniakan beliau dengan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) pada tahun 1980 dan Seri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (S.S.S.A.) pada tahun 2001 yang membawa gelaran Datin Paduka Seri," katanya.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin turut mendoakan agar roh Allahyarhamah ditempatkan bersama orang-orang beriman.