BATU PAHAT - Sepasang kekasih yang sedang asyik memadu asmara sanggup menjadikan sebuah hotel yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah mereka sebagai lokasi pertemuan untuk melampiaskan nafsu masing-masing.
Pasangan berkenaan yang berusia lingkungan awal 30-an itu turut 9mengaku sering bertemu beberapa kali sebelum dicekup oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jaij) Batu Pahat, awal pagi tadi.
Kadi Daerah Batu Pahat, Muhammad Husni Tamrin Md Sharif berkata, pasangan berkenaan adalah antara lima pasangan yang telah ditahan dalam Operasi Cegah Maksiat sempena Tahun Baharu Cina yang dilakukan oleh pihaknya.
"Pasangan terbabit mengaku telah beberapa kali bertemu di hotel yang sama dan jarak hotel berkenaan dari rumah mereka tidak sampai 500 meter dan kami terpaksa menunggu kira-kira 30 minit untuk pasangan tersebut membuka pintu.
"Daripada pengakuan yang direkodkan oleh lelaki berkenaan, dia mengakui masih belum berkahwin, manakala pasangannya telah berkahwin dan menjadikan hotel tersebut lokasi memadu asmara bagi mengelakkan perbuatan mereka dihidu oleh keluarga masing-masing," katanya kepada pemberita.
Menurutnya, kesemua pasangan tersebut kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat bagi proses dokumentasi sebelum ditahan bagi siasatan lanjut.
Katanya, operasi yang dijalankan di beberapa hotel di sekitar daerah ini turut disertai oleh kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat yang menjalankan ujian saringan HIV serta beberapa agensi yang lain dan diketuai oleh Timbalan Ketua Penguat Kuasa Agama Daerah Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah.
"Pasangan berkenaan, kini disiasat mengikut Seksyen 27 (1) Enakmen Kesalahan Syariah Johor 1997 dan jika disabitkan kesalahan kedua mereka bakal berdepan hukuman denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali
"Operasi seperti ini kami akan lakukan lebih kerap lagi pada masa akan datang dan saya meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan tidak bermoral seperti ini untuk menghubungi kami," katanya.