IPOH - Sepasang suami isteri sanggup menaiki motosikal sejauh kira-kira 200 kilometer (KM) dari Ipoh ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) demi mahu meneruskan rawatan kanser anaknya yang berusia tiga tahun.
Ibu kanak-kanak tersebut, Nur Natasya Rasid, 24, berkata, pada 11 November lalu, dia bersama suami, Muhammad Iqmal Ramli, 24, dan anak, Nur Mardhiah Shahadah Abdul Hadi nekad menaiki motosikal dari kediamannya di D' Aman Residensi, Bandar Meru Raya, di sini kerana mereka tiada pilihan lain.
Menurutnya, Nur Mardhiah terpaksa menjalani pembedahan suntikan steroid dan membuang lebihan daging pada mata kiri kanak-kanak yang menghidap penyakit itu ketika bayi lagi.
Bercerita mengenai kisahnya yang tular beberapa hari lalu, Nur Natasya berkata, tindakannya membawa anak istimewa itu ke HKL menaiki motosikal untuk menjalani rawatan disebabkan tiada kenderaan lain.
"Sebenarnya kami dah berfikir panjang dan tak ada pilihan. Nak naik bas tak boleh sebab sekarang tengah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Nak sewa kereta pula tak mampu sebab kami sendiri tak tahu berapa hari rawatan Nur Madhiah.
"Jadi, disebabkan Nur Mardhiah perlu jalani rawatan segera, saya dan suami ambil keputusan bawa dia naik motosikal. Itupun sepanjang perjalanan kami berhenti beberapa kali sebab risaukan Nur Mardhiah," katanya.
Jelas Nur Natasya, ketika tinggal di Kuala Lumpur sebelum ini, memang segala urusan rawatan di HKL hanya dengan menaiki motosikal kerana jarak yang dekat.
Menurutnya, sebelum ini suami bekerja di Kuala Lumpur namun mereka sekeluarga baharu sahaja berpindah ke Ipoh sejak lima bulan lalu selepas suaminya yang pekerja kontrak mendapat pekerjaan baharu.
Katanya, Muhammad Iqmal diberhentikan kerja ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu dan kemudian mendapat tawaran bekerja di Simpang Pulai.
Kisah perjalanan mereka sekeluarga ke HKL itu turut dikongsi Nur Natasya menerusi akaun Facebooknya dengan menceritakan ketika pergi dan balik mereka menerima bantuan banyak pihak yang membantu sehingga Nur Mardhiah berjaya menjalani pembedahan.
Menurutnya, sepanjang perjalanan tersebut, mereka beberapa kali berhenti disebabkan hujan malah terdapat pengguna jalan raya lain yang menumpangkan Nur Mardhiah sehingga sampai ke hospital.
Malah ketika beberapa hari di Kuala Lumpur, terdapat individu yang menawarkan diri membayar penginapan hotel ketika Nur Mardhiah menjalani rawatan.
Ketika pulang pula, mereka dibantu individu sama yang menumpangkan mereka ketika pergi ke HKL tempoh hari dan selamat sampai semalam di Ipoh kira-kira jam 2 petang.
Dalam pada itu, kesusahan yang dialami keluarga adik Nur Mardhiah Shahadah yang terpaksa menaiki motosikal dari Ipoh ke HKL itu turut mendapat perhatian Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Sebagai meringankan beban yang ditanggung keluarga Nur Mardhiah, Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun akan menanggung bayaran sewa rumah selama enam bulan selain menyediakan kemudahan pengangkutan bagi merawat kanak-kanak comel itu di HKL.
Perkara itu diumumkan sendiri oleh isteri Menteri Besar Perak itu, Datuk Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi yang juga Pengerusi Foodbank Perak yang menziarahi keluarga itu di Bandar Meru Raya di sini hari ini.
Menurut Dr Nomee Ashikin, pemberian bantuan itu bertujuan untuk meringankan beban ditanggung oleh keluarga Nur Mardhiah yang menghadapi kesukaran kerana kesempitan wang.
"Kita harap dalam tempoh enam bulan ini, keluarga adik Nur Mardhiah dapat mencari jalan untuk menjana pendapatan seperti memulakan perniagaan atau ibunya boleh mencari pendapatan sampingan dari rumah.
"Dalam masa sama, saya sendiri akan berbincang dengan rakan-rakan doktor perubatan untuk memudahkan Nur Mardhiah mendapatkan rawatan. Mana-mana rawatan yang boleh dibuat di Ipoh kita akan buat di sini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada keluarga Nur Madhiah, di sini hari ini.
Beberapa hari lalu, kisah Nur Mardhiah tular di media sosial apabila ibu bapanya terpaksa menaiki motosikal dari Ipoh ke HKL untuk membawa kanak-kanak itu menjalani rawatan di sana.