TERPAKSA masak nasi goreng minyak untuk beri anak-anak makan! Tajuk berita dalam Sinar Harian pada 4 November lalu benar-benar meruntun hati penulis.
Ibu kepada lima anak yang tinggal di Puchong, Selangor itu mendedahkan dia terpaksa memberi makanan tersebut kepada anak-anaknya kerana masalah kewangan ditambah pula suami terpaksa berhenti kerja kerana tiada wang untuk berulang alik ke tempat kerja yang jauh.
Penulis pasti mereka itu bukan satu-satunya keluarga yang pernah terputus bekalan makanan. Masih ramai dalam kalangan masyarakat kita yang mungkin terpaksa makan nasi kosong atau memberi bayi mereka air sirap sebagai ganti susu disebabkan kesempitan hidup.
Masih segar dalam ingatan, penulis yang mengetuai sebuah kumpulan sukarelawan menerima satu pesanan ringkas yang berbunyi, ‘ada ibu tunggal terputus makanan di satu lokasi’.
Terus menerpa di fikiran bahawa insan malang ini perlu segera dibantu. Tamat tugas di pejabat, penulis bergegas ke sebuah pasar raya dan membeli makanan asas seperti beras, minyak masak, sardin tin dan sepapan telur ayam.
Sebaik bertemu, ibu tunggal itu menceritakan kepayahan dihadapi kerana langsung tiada wang untuk membeli makanan.
Mengalir air mata di pipinya tatkala menceritakan keperitan ditanggung seorang diri tanpa bantuan suami di sisi.
Katanya, dia tidak pernah meminta bantuan daripada mana-mana agensi kerana gajinya mencukupi sebelum ini, namun pada masa itu dia betul-betul buntu apabila terpaksa bercuti tanpa gaji untuk menjaga anaknya yang terlibat dalam kemalangan sehingga putus sumber kewangan.
Penulis masih ingat, tatkala menyerahkan sepapan telur kepada ibu tunggal berkenaan, air matanya menitis di atas papan telur tersebut, mungkin kerana terharu mendapat makanan bagi mengisi perut anak-anak kecilnya yang sudah beberapa hari kelaparan.
Tabung Makanan
Media baru-baru ini melaporkan satu daripada dua keluarga berpendapatan rendah di ibu kota, berada dalam kategori kemiskinan mutlak dengan 37 peratus sukar membeli makanan mencukupi menurut kajian agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu susulan pandemik Covid-19.
Bagi penulis, sudah tiba masanya semua pihak berganding bahu mengambil inisiatif menubuhkan Tabung Makanan di setiap kawasan yang memerlukan khususnya di pangsapuri kos rendah dan kawasan kampung.
Ketika ini bukan langsung tiada, namun usaha hanya dilaksanakan segelintir jawatankuasa surau, pertubuhan bukan kerajaan atau orang perseorangan. Ia masih belum mencukupi.
Keadaan ekonomi rakyat marhaen yang masih tidak menentu disebabkan wabak Covid-19 memerlukan pihak kerajaan memikirkan peri pentingnya usaha ini dilaksanakan segera dengan memperuntukkan sejumlah dana.
Tidak memerlukan ruang yang besar, makanan asas seperti beras, minyak masak, tepung, telur atau sardin tin boleh disimpan di pusat operasi Tabung Makanan yang dikawal selia oleh wakil penduduk untuk diberikan kepada mana-mana penduduk yang terputus makanan.
Sekurang-kurangnya apabila ada keluarga yang terputus bekalan makanan, mereka tahu ke mana perlu dituju dan tidak perlulah menebalkan muka mengetuk pintu rumah jiran hanya untuk mendapatkan secupak beras.
Dalam situasi yang getir kini, kita tidak perlukan ramai ‘Mak Cik Bawang’ namun kita mengharapkan ramai orang seperti ‘Uncle Kentang’ yang mengambil inisiatif menyediakan Tabung Makanan beroperasi di rumahnya sendiri dan juga Ustaz Ebit Lew yang menyediakan bekalan makanan di rangkaian Elewsmart miliknya.
Masih terngiang-ngiang di fikiran penulis kata-kata aktivis masyarakat, Uncle Kentang atau nama sebenarnya Kuan Chee Heng ketika bertemu dengannya beberapa hari lalu.
"Kita ‘hambat’ asnaf, jangan biar asnaf cari kita, kita harus contohi Saidina Umar al-Khattab dalam mencari mereka yang masak batu untuk menidurkan anak-anak kecil yang kelaparan.”
Kita hidup sementara, jadi renungkanlah.
* Nur Farhana Abdul Manan ialah Ketua Biro Selangor Sinar Harian