Rebut peluang di Wilayah Bebas Berniaga

Iklan
Peniaga memulakan perniagaan selepas Kementerian Wilayah Persekutuan menjadikan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Bebas Berniaga.

KEPUTUSAN Kementerian Wilayah Persekutuan menjadikan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Bebas Berniaga membuktikan kerajaan sentiasa prihatin dengan kesusahan rakyat yang amat terkesan dengan pandemik koronavirus (Covid-19).

Ia adalah talian hayat bagi mereka untuk meneruskan hidup setelah kehilangan kerja dan pendapatan susulan banyak syarikat yang gulung tikar mahupun kerugian.

Iklan
Iklan

Dengan kebenaran berkenaan, siapa sangka akan lahir lebih ramai usahawan berjaya yang akhirnya dapat menggerakkan ekonomi Malaysia ke kedudukan yang lebih baik.

Bagaimanapun, di sebalik usaha pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa membantu penjaja kecil, jangan pula ada yang mengambil kesempatan dengan menyerahkan perniagaan tersebut kepada warga asing.

Iklan

Gunakanlah peluang tersebut untuk meningkatkan pendapatan sendiri dan tidak mengambil untung mudah dengan mengalibabakan perniagaan kepada golongan yang tidak sepatutnya.

Ini kerana apabila ada peniaga yang membuat onar, ia pasti memberi kesan kepada peniaga lain yang benar-benar perlu mencari rezeki di kawasan berkenaan.

Iklan

Peniaga juga kena prihatin dengan keadaan sekeliling dan tidak berniaga di tempat yang menyusahkan orang lain seperti menyebabkan kesesakan lalu lintas, membahayakan peniaga dan pembeli serta mengundang isu keselamatan.

Uruskanlah perniagaan tersebut dengan bersih dan tersusun supaya tidak mengganggu keadaan sedia ada seperti isu pembuangan sampah, minyak masak dan ketenteraman awam.

Sekiranya semuanya dapat dilakukan dengan mengikut peraturan ditetapkan, peniaga bukan sahaja dapat berniaga dengan lebih sistematik, malah perniagaan yang dijalankan juga akan lebih maju.

Bagi mereka yang kekurangan modal pula, sama-samalah berdoa supaya kerajaan membenarkan pengeluaran RM10,000 daripada akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja kerana dengan wang yang ada sudah pasti dapat memudahkan lagi urusan untuk mencari rezeki di Wilayah Bebas Berniaga.