PELUMBA MotoGP Petronas Yamaha SRT Franco Morbidelli menyifatkan kejayaannya muncul juara pada Grand Prix (GP) Valencia semalam sebagai pencapaian terbaiknya di sepanjang musim ini.
Morbidelli berkata, segala kerja kerasnya selama ini nyata berhasil biarpun terpaksa mengharungi perlumbaan yang agak sukar di Litar Ricardo Tormo itu.
Malah menurut Morbidelli, kejayaannya menakluki podium buat kali ketiga musim ini juga dilihat sebagai pencapaian terbaik di sepanjang kariernya.
"Segalanya nampak menjadi buat saya pada perlumbaan kali ini walaupun perlumbaan kali ini agak sukar.
"Saya dan pasukan bekerja keras minggu ini dan saya telah melakukan sedikit perubahan pada gaya serta teknik tunggangan saya untuk perlumbaan kali ini.
"Kini saya pula hampir kehilangan suara kerana terlalu banyak menjerit kegembiraan apabila menamatkan perlumbaan kali ini," katanya sejurus menamatkan perlumbaan berkenaan dengan catatan masa 41 minit 22.478 saat.
Sekali gus, menjadi kejayaan ketiga buat pelumba kelahiran Itali itu setelah menjuarai GP San Marino pada September dan GP Teruel pada Oktober.
Kejayaan berkenaan sekali gus melonjakkan kedudukan pelumba kelahiran Itali itu pada kedudukan kedua kejuaraan dunia dengan 142 mata di belakang Juara Dunia 2020 dari Sepanyol yang juga pelumba pasukan Suzuki Ecstar Joan Mir yang mengumpul 171 mata.
Walaupun hanya menamatkan perlumbaan kali ini pada kedudukan ketujuh, ia sudah cukup untuk menobatkan Mir selaku juara dunia musim ini biarpun masih berbaki satu perlumbaan pada GP Portugal di Litar Portimao hujung minggu ini.
Untuk rekod, kali terakhir pelumba Suzuki memenangi kejuaraan dunia pada 2000 lalu menerusi Kenny Roberts Jr.
Sementara itu rakan sepasukan Morbidelli, Fabio Quartararo yang gagal menamatkan perlumbaan kali ini, berazam untuk menamatkan perlumbaan terakhir musim ini di GP Portugal hujung minggu ini pada kedudukan terbaik.
"Saya telah melakukan kesilapan kali ini, namun saya akan cuba menebusnya dengan memberikan yang terbaik pada perlumbaan terakhir musim ini pada GP Portugal nanti," katanya.