KUALA LUMPUR - Penularan koronavirus (Covid-19) bukan hanya memberi kesan kepada masalah ekonomi, malah turut mempengaruhi emosi seseorang.
Berucap ketika melancarkan Bulan Keluarga Kebangsaan 2020 yang disiarkan secara maya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keluarga yang terjejas dengan pandemik itu perlu diperkasa, diberi sokongan bagi memulakan kehidupan baharu dan meneruskan kelangsungan hidup.
Menurutnya, sistem sokongan yang komprehensif memerlukan penglibatan semua pihak termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), swasta dan orang perseorangan untuk peduli keluarga serta saling membantu keluarga yang memerlukan bantuan.
"Tema sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan pada tahun ini iaitu ‘Kita Jaga Keluarga’ bertepatan dengan situasi semasa ketika kita semua sedang menghadapi ancaman Covid-19.
"Peranan setiap ahli keluarga amat penting bagi melindungi keluarga masing-masing daripada bahaya wabak ini, selain bertanggungjawab untuk bersama-sama membendung penularan Covid-19 dalam komuniti,” katanya.
Beliau berkata, pada masa yang sama, tema itu juga menggambarkan komitmen kerajaan untuk melindungi institusi keluarga daripada Covid-19.
"Keluarga yang terkesan diberi pelindungan, sokongan emosi dan khidmat kaunseling bagi membina semula kekuatan keluarga supaya lebih cekal dalam menghadapi cabaran pada masa akan datang,” katanya.
Sempena Bulan Keluarga Kebangsaan 2020 yang disambut sepanjang November ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menyediakan pelbagai pengisian program pendidikan kekeluargaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun turut mengingatkan agar keluarga diberi keutamaan termasuk kumpulan sokongan terutama ketika berdepan masalah emosi akibat Covid-19.
Berbeza dari tahun-tahun sebelumnya, program kali ini akan dijalankan secara dalam talian menggunakan platform media sosial Facebook KPWKM dan LPPKN bagi menggantikan aktiviti secara fizikal.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Abdul Shukur Abdullah berkata, bertemakan ‘Kita Jaga Keluarga’, sambutan pada tahun ini membawa pengertian pentingnya pengukuhan dan sokongan keluarga dalam mendepani cabaran Covid-19.
Menurutnya, cara menangani stres adalah antara topik menarik yang akan dibincangkan secara terbuka sempena sambutan kali ini.
"Tajuk tersebut dipilih berdasarkan dapatan kajian dan soal selidik yang dijalankan mengenai kesan Covid-19 terhadap perubahan tingkah laku serta gaya hidup rakyat Malaysia.
"Satu daripada empat responden menyatakan berlakunya perubahan yang besar dalam kehidupan peribadi mereka.
"Sebanyak 63 peratus daripada 1,175 responden berasakan tahap stres harian mereka meningkat semasa Covid-19” katanya kepada Sinar Harian di pejabatnya di sini baru-baru ini.
Abdul Shukur berkata, berdasarkan topik tersebut, beberapa panelis akan diundang bagi memberikan tips kepada ibu bapa mengenai cara mengawal stres dan mengurus anak-anak dari sudut agama serta psikologi.
"Hanya keluarga yang dapat mengembalikan norma atau tradisi sedia ada dengan menjaga hubungan sosial dalam keluarga.
"Antara program yang telah dirangka termasuk forum dan Webinar Akademi Keluarga Sejahtera yang akan membincangkan beberapa topik berkisar kita jaga keluarga serta kesuburan dan intervensi perubatan,” katanya.
Turut diselitkan, katanya, aktiviti bersama keluarga yang dilaksanakan secara dalam talian seperti 15 Minutes to Love oleh NGO Focus on the Family Malaysia, cabaran pantun keluarga dan family fun virtual hunt.
"Sambutan kali ini lebih istimewa dengan penghasilan lagu tema ‘Kita Kan Keluarga’ yang baru dilancarkan pada minggu lalu dan boleh didengar di platform digital,” kata beliau.
AKTIVITI SEPANJANG BULAN KELUARGA KEBANGSAAN 2020
12 November - Webinar Akademi Keluarga Sejahtera: Kita jaga keluarga (FB Live LPPKN 10.30 pagi-11.30 pagi).
19 hingga 21 November - Webinar 2nd Malaysia National Symposium on Fathering, anjuran Better Dads Malaysia
26 November - Webinar Akademi Keluarga Sejahtera: Isu kesuburan dan intervensi perubatan (FB Live LPPKN 10.30 pagi -11.30 pagi).
28 November - Forum: Lelaki hebat keluarga cemerlang, anjuran Ikram Malaysia (FB Live LPPKN 9 pagi -1 petang)
1 hingga 30 November - Cabaran Pantun Keluarga (FB LPPKN)
November hingga Disember - 15 Minutes to Love Challenge anjuran Focus on the Family Malaysia