PENDANG - Seorang lelaki ditahan bersama dadah dipercayai jenis heroin seberat 23.2 gram yang dianggar bernilai lebih RM600 di Kampung Bendang Raja di sini, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, lelaki berusia 43 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.15 malam di sebatang jalan di kampung tersebut selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan.
Iklan
Iklan
"Anggota polis telah mendekati suspek dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan lelaki tersebut bertindak melarikan diri bagaimanapun dia berjaya ditangkap.
"Pemeriksaan terhadap suspek dan beg silang yang dibawanya menemukan tiga peket plastik lut sinar berisi dadah heroin seberat 23.2 gram, alat penimbang digital, gunting dan lima paket plastik kosong dipercayai digunakan untuk pembungkusan dadah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek yang juga penganggur dihantar dan ditinggalkan di lokasi itu oleh rakannya untuk menjual dadah kepada penagih di kawasan tersebut.
Suspek yang didapati positif morfin disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya menambah suspek juga mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.- Bernama