Polis siasat Facebook pendakwah

Iklan
Laman Facebook seorang pendakwah yang sedang disiasat Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan kegusaran kepada orang awam.

KUALA KANGSAR - [DIKEMASKINI] Polis sedang menyiasat Facebook dipercayai milik seorang pendakwah yang mencetuskan persepsi buruk terhadap anggota keselamatan menerusi satu hantaran pada 13 November lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, hantaran yang menunjukkan keratan akhbar mengenai berita enam lelaki termasuk empat warga emas didenda oleh Mahkamah Majistret Kuala Kangsar itu menunjukkan kejadian seolah-olah baru berlaku sedangkan kejadian itu pada 17 April lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, laporan polis mengenai hantaran di Facebook Ustaz Muhammad Bin Abdullah-UMA tersebut telah dibuat semalam selepas mendapati maklumat tersebut tidak benar dan berniat jahat terhadap pihak polis.

"Hantaran tersebut dengan niat mahu mengaibkan pihak polis dan institusi keagamaan serta berbaur hasutan selain mahu menjatuhkan imej PDRM di mata masyarakat di Facebook kerana mendapat komen negatif.

Iklan

"Perkara itu mencetuskan kekeliruan dan kebimbangan penduduk khususnya di Kuala Kangsar kerana hantaran tersebut turut dikongsi netizen," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar, di sini hari ini.

Omar Bakhtiar menunjukkan hantaran Facebook yang sesang disiasat Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan kegusaran kepada orang awam ketika sidang akhbar di IPD Kuala Kangsar, hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, kes tersebut disiasat Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan kegusaran kepada orang awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Iklan

Jelasnya, polis sedang menyiasat sama ada pendakwah tersebut dipanggil atau sebaliknya.

Pada 14 November lalu, Facebook menggunakan nama Ustaz Muhammad Bin Abdullah-UMA dikesan membuat hantaran tersebut dengan tajuk amat menyedihkan disertakan tangkap layar berita enam lelaki termasuk empat warga emas didenda oleh Mahkamah Majistret Kuala Kangsar.

Hantaran tersebut turut mendapat lebih 841 reaksi, 150 komen dan 164 perkongsian di Facebook.

Dalam perkembangan lain, Omar Bakhtiar memaklumkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga kini, sebanyak lima kompaun dikeluarkan di daerah itu atas kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menurutnya, empat individu dikenakan kompaun di Padang Rengas kerana berada di dalam satu kereta manakala seorang lagi individu dikenakan kompaun kerana membuka pasar mini melibihi masa ditetapkan.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang hantaran atau menyebarkan berita tidak benar untuk mendatangkan kegusaran di dalam masyarakat.

Katanya, polis akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang melakukan khianat sedemikian.