PELAKON dan pengacara Che Puan Sarimah Ibrahim berkongsi berita gambira bakal menimang cahaya mata pertamanya apabila kini hamil empat bulan.
Menurut perkongsian yang dilakukan di laman Instagram miliknya semalam, Sarimah mengakui begitu teruja apatah lagi dia dan suami, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar, 47, telah lama menanti saat ini setelah empat tahun mendirikan rumah tangga.
"Alhamdulillah, ini adalah kejutan besar hadir dalam hidup kami pada hujung tahun lalu. Sebenarnya, agak sukar untuk kami menyimpan rahsia ini sampailah sekarang.
"Untuk pelanggan dan beberapa urusan perniagaan yang terpaksa saya batalkan beberapa bulan lalu, sekarang anda tahu kenapa,” tulisnya.
Wanita berdarah kacukan Melayu-Irish ini juga mengakuidia sendiri seakan tidak percaya dengan berita yang diterimanya ini dan menganggap ia satu keajaiban.
"Seakan tidak percaya saya akan menjadi ibu buat kali pertama pada usia 41 tahun. Alhamdulillah untuk keajaiban ini.
"Doakan yang terbaik untuk kami ya. Rasa sangat teruja dan dalam masa yang sama gementar," tulis Sarimah.
Sarimah dan suami yang juga merupakan kerabat Diraja Negeri Sembilan, mendirikan rumah tangga pada April 2015.