LANGKAWI – Sebuah badan hospitali menggesa kerajaan Malaysia supaya mempertimbangkan semula cadangan untuk mengenakan cukai ke atas produk rokok dan tembakau yang dijual di semua kedai bebas cukai di Langkawi./p>
Persatuan Hotel Budget Malaysia (MyBHA) Cawangan Langkawi dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan cukai eksais ke atas rokok akan menjejaskan pengendali hotel bajet dan peruncit yang beroperasi di zon bebas cukai sebagai sumber utama pendapatan mereka.
Kata kenyataan itu lagi, cukai dikenakan menjadikan rokok lebih mahal bakal mendorong sindiket jenayah untuk membawa masuk rokok seludup yang disasarkan kepada penduduk tempatan dan juga pelancong di pulau peranginan itu.
Pengerusi MyBHA Cawangan Langkawi, Datuk Noorazly Rosly berkata, keadaan itu dibimbangi akan membawa kesan sosio-ekonomi negatif yang dikaitkan dengan perdagangan rokok seludup.
Beliau berkata, kebanyakan ahli MyBHA mempunyai kedai runcit atau kedai serbaneka di dalam hotel mereka dan apabila cukai dikenakan terhadap barangan yang popular tersebut, jumlah jualan dan hasil pendapatan pasti merudum.
"Pengendali hotel bajet sudah pun hampir gulung tikar kesan daripada pandemik global koronavirus (Covid-19). Setiap satu sumber hasil langsung dan tidak langsung amat bernilai bagi kami.
"Oleh itu kami berharap agar kerajaan tidak melaksanakan cukai yang akan menambah kesulitan hidup kami, sebaliknya memperkenalkan inisiatif-inisiatif yang akan membantu ahli-ahli kami meneruskan kesinambungan hidup dan akhirnya turut sama menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di pulau bebas cukai ini,” tambah beliau.
Noorazly berkata, rokok seludup tidak pernah menjadi masalah besar di pulau bebas cukai seperti Langkawi kerana produk tersebut boleh dibeli dengan harga yang murah, selain menjadi nadi utama kepada pembangunan ekonomi di pulau tersebut.
"Mengapa penduduk atau pelancong perlu membeli produk kontraban sedangkan harga produk sah adalah sama? Sekiranya cukai dikenakan terhadap rokok maka harga produk itu semakin tinggi dan menyebabkan pengguna beralih kepada rokok seludup yang lebih murah.
"Memandangkan lanskap operasi yang mencabar sekarang, kami tidak mahu kehilangan pelancong disebabkan persepsi dan pengalaman tidak menyeluruh nanti,” ujarnya.
Dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November lalu, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, cukai akan dikenakan ke atas produk rokok dan tembakau di semua pulai bebas cukai dan mana-mana zon bebas yang telah diberi kebenaran penjualan runcit rokok-rokok bebas cukai.