WASHINGTON - Empat angkasawan berjaya berlepas ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) semalam dengan menaiki kapal angkasa SpaceX Crew Dragon Resilience dari Pusat Angkasa Lepas Kennedy di Florida.
Kerajaan Amerika Syarikat (AS) berharap akan terdapat banyak misi ke angkasa lepas berikutan kejayaan satu penerbangan seumpama itu pada lewat musim bunga lalu.
Tiga rakyat AS iaitu Michael Hopkins, Victor Glover dan Shannon Walker serta seorang warga Jepun, Soichi Noguchi berlepas ke ISS pada jam 7.27 malam waktu tempatan.
Kejayaan itu menamatkan pergantungan kepada roket Soyuz buatan Rusia untuk berlepas ke ISS.
"Ini adalah hari yang hebat untuk AS dan hari hebat untuk Jepun," kata seorang pentadbir Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) milik AS iaitu Jim Bridenstine pada sidang akhbar selepas pelancaran itu.
Kira-kira 12 minit selepas pelancaran tersebut, kapsul kapal angkasa berkenaan berjaya dipisahkan dari roket Falcon 9.
Firma SpaceX mengesahkan ia kini dalam penerbangan untuk tiba ke ISS dalam tempoh lebih 27 jam kemudian.
Semua angkasawan itu akan menyertai dua angkasawan Rusia dan seorang lagi dari AS di ISS dan tinggal selama enam bulan.
SpaceX turut menyiarkan imej secara langsung dari dalam kapsul yang menunjukkan angkasawan berkenaan duduk di atas kerusi masing-masing.
Imej itu sebelum ini tidak pernah disiarkan oleh Rusia atau AS.
Bakal Presiden AS, Joe Biden memuji pelancaran itu menerusi Twitter sebagai"bukti kuasa sains dan apa yang kita boleh capai dengan menggunakan inovasi kita, kepintaran dan keazaman."
Presiden AS, Donald Trump pula menganggap pelancaran tersebut sebagai sesuatu yang hebat.
Kapsul Crew Dragon sebelum ini menjadi kapal angkasa yang pertama diiktiraf oleh NASA selepas kapal angkasa Shuttle yang digunakan hampir 40 tahun lalu. - AFP