PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertimbangkan cadangan melakukan ujian saringan terhadap individu dari daerah zon merah yang melakukan perjalanan ke zon hijau.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan itu sebagai usaha bagi melindungi negeri atau daerah yang berstatus hijau.
"Kita sedang melihat untuk melakukan saringan dan diuji bagi mereka dari daerah zon merah," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini semalam.
Menurutnya, KKM turut akan mempertimbangkan cadangan Johor dan Terengganu diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sekiranya terdapat perkembangan baik dari kedua-dua negeri itu.
"Selepas 20 November, kita akan lihat kembali perkembangan di Dungun dan Johor. Kalau baik, kita pertimbang untuk kembalikan PKPP," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, kementerian akan terus melihat langkah-langkah yang boleh melindungi negeri hijau.
"Insya-ALLAH, kalau empat hari lagi perkembangan makin baik, negeri PKPP menjadi enam.
"Tindakan kita melindungi enam negeri ini dengan aktiviti kesihatan awam yang dikenalpasti," katanya.
Setakat ini, hanya Pahang, Kelantan, Perlis dan Sarawak dikategorikan sebagai negeri hijau dan diletakkan di bawah PKPP.
Pada perkembangan sama, KKM menasihati agar majikan melakukan saringan berkala terhadap pekerja mereka terutamanya di sektor binaan.
Katanya, saringan secara berkala lebih efektif dari segi kos kerana jangkitan dapat dikesan lebih awal sebelum ia menular dalam masyarakat.
"Sekiranya berlaku kes positif, kita terpaksa menghentikan operasi mereka," katanya.