TUMPAT - Empat tukang rumah cedera ringan apabila bumbung garaj kereta yang sedang dibina mereka runtuh di Kampung Palekbang, di sini, hari ini.
Pada kejadian jam 11 pagi itu, dua daripada tukang rumah itu berada di atas bumbung manakala dua lagi di bawah garaj untuk kerja-kerja pemasangan atap.
Mangsa yang cedera dikenali Abdullah Deraman, 60, dan Ismail Mahmud, 60 dari Kampung Sungai Pinang.
Dua mangsa lagi dikenali Mohd Faizal Abdullah, 32 dan Che Muhammad Arif Che Ariffin, 22 dari Kampung Kolam Teratai.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Penolong Penguasa Bomba, Wan Baijuri Wan Hassan berkata, keempat-empat mangsa yang cedera ringan dihantar ke Hospital Tumpat untuk rawatan.
"Sebaik anggota bomba tiba dilokasi, keempat mangsa sudah keluar dari runtuhan itu.
"Kita bantu mangsa untuk dibawa ke Hospital Tumpat dengan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Tumpat," katanya.
Menurutnya, pihaknya masih menyiasat lanjut punca runtuhan tetapi berdasarkan pemeriksaan awal mendapati struktur bumbung garaj itu tidak dapat menampung berat atap.
"Rangka bumbung tersebut menggunakan kayu lama, mungkin itu penyebabnya ia runtuh," katanya.