20 polis ditukar disyaki terlibat Macau Scam, judi dalam talian

Iklan
Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR - Pegawai kanan polis adalah antara yang diambil tindakan berikutan disyaki mempunyai kaitan dengan individu yang ditahan bagi membantu siasatan sindiket judi dalam talian dan Macau Scam.

Kes itu turut menyaksikan rombakan besar-besaran dalam pasukan polis melibatkan lebih 20 anggota, pegawai dan pegawai kanan pasukan keselamatan itu ditukarkan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika mengesahkan perkara itu hari ini berkata, langkah menukarkan anggota dan pegawai terlibat adalah tindakan pertama pihaknya dalam mengambil tindakan terhadap mereka yang bersekongkol dengan penjenayah.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi pegawai polis yang akan dikenakan tindakan selepas ini berhubung perkara itu.

Iklan

"Sudah diambil tindakan. Tindakan pertama ialah menukarkan mereka dari tempat sensitif. Tindakan kedua sekiranya ada bukti-bukti lain kita akan ambil tindakan selanjutnya.

"Tidak silap saya ada 20 (orang). Akan keluar lagi (pertukaran). Tak ada apa yang sensasinya jika perkara seperti ini. Kalau berlaku, kita siasat. Bila ada faktanya, kita ambillah tindakan,” katanya.

Iklan

Beliau ditemui selepas melakukan kunjungan ke atas bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini hari ini.

Abdul Hamid sebelum ini dilaporkan berkata, semua pegawai dan anggota yang bakal ditempatkan di Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan disaring Jawatankuasa Khas yang ditubuh di Bukit Aman bagi memastikan mereka yang bakal ditempatkan di bahagian 'panas’, mempunyai integriti yang tinggi.

Kes membabitkan pegawai kanan polis itu dikesan susulan penahanan beberapa selebriti dan usahawan kosmetik oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan mengubah atau ‘mencuci wang haram’ daripada sindiket Macau Scam dan pengendali judi dalam talian. - Bernama