ISKANDAR PUTERI - Seorang kanak-kanak berusia dua tahun terperangkap dalam sebuah kereta di Taman Nusaria, Gelang Patah di sini hari ini.
Dalam kejadian jam 5.41 petang, Muhammad Fateh Najmi Mohd Fadli ditinggalkan seorang diri oleh bapanya dalam kereta tersebut.
Komander Operasi dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Azlan Ramli berkata, bapa kanak-kanak itu meninggalkan anaknya semasa keluar membeli barang di kedai runcit dalam keadaan enjin dimatikan.
Menurutnya, bapanya mencabut kunci dan meletakkan atas kerusi pemandu dalam keadaan tingkap kereta ditutup dan anaknya sedang tidur.
"Selepas itu anaknya terjaga dan menangis dalam keadaan kereta sudah berkunci.
"Kanak-kanak itu terperangkap selama kira-kira 10 minit sebelum 11 anggota dari BBP Iskandar Puteri dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, pihak bomba mengambil masa kira-kira tujuh minit untuk mengumpil pintu dan mengeluarkan mangsa.
"Kanak-kanak tersebut berjaya dikeluarkan dengan selamat dan operasi tamat pada jam 5.57 petang," katanya.