Hotel jalankan aktiviti pelacuran, judi online diserbu

Iklan
Antara individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah hotel di Taman Serdang Perdana di sini semalam.

SERDANG - Polis menyerbu sebuah hotel tiga bintang yang menjalankan kegiatan pelacuran, judi online (dalam talian) serta menjual ubat kuat di Taman Serdang Perdana di sini, semalam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, pihaknya bersama Polis Daerah Serdang menyerbu premis di tingkat tiga itu menerusi Ops Noda pada jam 8 malam.

Iklan
Iklan

"Seramai tujuh gadis pelayan pelanggan (GRO) warga Thailand dan Vietnam itu sedang leka melayan pelanggan masing-masing," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan malam tadi.

Azmi berkata, hasil siasatan mendapati sindiket mempromosikan aktiviti persundalan melalui aplikasi media sosial seperti WeChat dan WhatsApp untuk menarik pelanggan.

Iklan

"Sindiket telah beroperasi sejak dua bulan lalu, kita mengesan 37 bilik yang dipercayai untuk kegunaan aktiviti pelacuran dan judi online," katanya.

Menurutnya, selain aktiviti pelacuran, sindiket berkenaan turut menyediakan tujuh buah komputer riba di bilik tertentu bagi tujuan judi online.

Iklan

"Sindiket berkenaan menjana keuntungan RM3,000 sehari. Kita juga merampas puluhan botol ubat kuat yang dijual dengan harga RM200 sebotol," katanya

Turut hadir dalam serbuan itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah.

Azmi berkata, hasil pemeriksaan lanjut pihaknya menemui sebuah lif di sebalik dinding yang dipercayai digunakan pelanggan dan GRO untuk melarikan diri sekiranya premis itu diserbu polis.

"Seramai 10 pelanggan yang terdiri daripada lapan lelaki tempatan dan masing-masing seorang warga Palestin dan Bangladesh ditahan dalam serbuan tersebut.

"Kesemua suspek berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun. Dua penjaga premis turut ditahan," katanya.

Azmi memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55(b) akta yang sama.