SABAK BERNAM - Tindakan seorang pekerja kedai runcit mencuri wang di kaunter juruwang di tempat kerjanya membawa padah apabila dia diberkas polis di sebuah rumah di Sungai Burong di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, kegiatan suspek berusia 28 tahun itu terbongkar apabila rakan sekerjanya yang juga juruwang di kedai runcit itu mendapati wang tunai di dalam kaunter berkurangan sebanyak RM1,500.
Iklan
Iklan
Menurutnya, kejadian itu disedari juruwang berusia 29 tahun itu ketika berada di kedai runcit yang beralamat di Taman Indah, Sekinchan, kira-kira jam 7.30 petang pada 12 November lalu.
"Pemeriksaan kamera rakaman litar tertutup (CCTV) di dalam kedai mendapati wang tersebut dicuri seorang rakan sekerjanya," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Agus Salim berkata, bertindak atas risikan dan maklumat awam, sepasukan polis berjaya menahan suspek terbabit.
"Hasil semakan polis mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau.
"Sehingga kini suspek masih ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan," katanya.