KUALA LUMPUR - Akhbar Sinar Harian yang dipimpin oleh Allahyarham Datuk Baharom Mahusin selaku Ketua Pengarang sejak dua tahun lalu telah berjaya diangkat ke satu tahap yang membanggakan dengan sejarah pencapaian tersendiri.
Perkara itu diakui oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub yang menyifatkan pemergian Baharom pada usia 54 tahun adalah sebagai satu kehilangan yang amat besar kepada Sinar Harian bahkan dalam dunia kewartawanan negara.
Beliau berkata, Allahyarham sepatutnya dijadualkan membentangkan pelan strategik Sinar Harian bagi tahun 2021 hari ini namun tidak kesampaian.
"Saya bersyukur kepada ALLAH SWT kerana meminjamkan arwah untuk Sinar Harian selama hampir dua tahun ini.
"Sepanjang dua tahun ini Allahyarham sudah berjaya meletakkan asas-asas editorial kerana di Karangkraf kami adalah orang majalah. Jadi surat khabar ni satu benda yang bukan kekuatan kami.
"Jadi bila arwah datang hampir dua tahun lepas dia rombak balik pasukan editorial, buat editorial sistem yang bagus. Alhamdulillah Sinar Harian semenjak dipimpin arwah, jualan semakin meningkat dan Alhamdulillah kita sudah menjadi surat khabar Bahasa Melayu nombor satu di Malaysia.
"Bagi kami ini sebuah kehilangan yang besar bagi Sinar Harian dan juga dunia kewartawanan secara keseluruhannya," katanya ketika ditemui di Masjid Bilal Bin Rabbah, Taman Koperasi Polis di sini hari ini.
Tambah Hussamuddin, mengenali Allahyarham sebagai individu yang tidak banyak cakap, namun mampu membuktikan kredibilitinya sepanjang menerajui Sinar Harian.
"Arwah seorang yang tak banyak cakap namun dalam soal kerja, arwah seorang yang sangat berdedikasi,"katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah turut senada menyifatkan Sinar Harian kehilangan seorang ketua pengarang yang mempunyai kredibiliti.
"Secara peribadi saya amat sedih. Walaupun tidak berapa rapat. Tapi saya mengenali arwah sebelum beliau masuk ke Sinar Harian lagi.
"Arwah seorang yang pendiam dan serius tapi dalam tugas, arwah seorang yang teratur, anak-anak buah pun hormat dari segi kerja yang arwah sempurnakan.
"Di Sinar Harian kita mendapat ketua editor yang betul-betul menepati kehendak kita. Tapi sayangnya arwah hanya berkhidmat tak sampai dua tahun. Kita memerlukan kalau boleh lebih ramai orang seperti arwah," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Ketua Pengarang Sinar Harian meninggal dunia
Pemergian Baharom kehilangan besar industri media
Agong zahir ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Baharom
Allahyarham Baharom menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada jam 7.23 pagi tadi akibat kegagalan fungsi organ.
Allahyarham yang mula menyertai keluarga Sinar Harian pada 1 April 2019 meninggalkan seorang balu, Datin Noor Fuzana Yaakub, 53 dan dua orang anak iaitu Muhammad Shuqran, 26 dan Nor Azirah, 22.