Ibu tunggal dituduh ugut kakak, menangis tidak diberi jamin

Iklan
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Kulim hari ini untuk pendakwaan.

KULIM- Seorang ibu tunggal menangis ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kulim hari ini setelah tidak dibenarkan jaminan atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap kakak kandung.

Tertuduh, Nurul Habibah Abd Aziz, 32, dilihat menangis teresak-esak setelah Majistret Che Rohana Ismail tidak membenarkannya diikat jamin.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan ugutan jenayah sehingga mendatangkan ketakutan kepada Fazida Abd Aziz, 38, dengan tujuan hendak menyebabkan kematian.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Sri Limau, Lunas pada jam lebih kurang 10 pagi, 11 November lalu.

Iklan

Disebabkan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya boleh dikenakan jika sabit kesalahan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Akmal Abdul Ghani.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan kerana bimbang tertuduh mengganggu kakak serta ahli keluarga lain.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 24 Disember depan.