SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) bukanlah untuk dijual sebaliknya berteraskan prinsip integriti dalam perjuangan, kata Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.
Mujahid berkata, setiap ahli yang secara sukarela memilih untuk bersama parti itu perlulah memahami terlebih dahulu bahawa Amanah merupakan parti yang berpegang kepada kesetiaan perjanjian bersama rakan-rakan komponennya.
"Menyedari polemik galas ganti kepimpinan negara selepas Tun Dr Mahathir Mohamad, Amanah tetap berpegang pada keputusan awal Pakatan Harapan (PH) bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pengganti Dr Mahathir tanpa pertikaian.
"Apabila Dr Mahathir meletakkan jawatan tanpa konsultasi Majlis Presiden PH, Amanah kekal berpendirian bersama PH dengan menyokong teguh kepimpinan Anwar sebagai Pengerusi PH,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.
Mujahid berkata, semua keputusan dalam Majlis Presiden PH dibuat secara kolektif termasuklah menyokong usaha-usaha PH untuk mengembalikan mandat rakyat pasca pembelotan ‘Langkah Sheraton’.
Justeru, beliau berkata, perkara itu tidak seharusnya menimbulkan persoalan mengenai Amanah membuat langkah dan tindakan terkeluar daripada premis keputusan di Majlis Presiden.
"Amanah telah menegaskan bersama usaha Anwar untuk meyakinkan 222 ahli Parlimen supaya menyokong majoriti yang kukuh dan kerajaan yang stabil setelah Perikatan Nasional (PN) gagal memenuhinya.
"Spekulasi yang mengatakan kononnya Amanah mengambil arus berbeza menyokong Dr Mahathir adalah tindakan berniat jahat memburukkan imej Amanah apatah lagi dengan menyerang peribadi Presiden Amanah sebagai penyebab perpecahan parti ini.
"Pihak yang bertanggungjawab atas naratif ini harus meminta maaf atas usaha memburukkan parti ini sama ada sengaja ataupun tidak di samping merosakkan kesatuan dalam PH,” katanya.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Parit Buntar itu turut meminta semua pihak tidak mengaitkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar meninggalkan Amanah sebagai respons kepada kekecewaan sikap parti tersebut terhadap Anwar.
Beliau berkata, Mohd Fakhrulrazi tidak wajar membayangkan sedemikian kerana hakikatnya tindakan wakil rakyat itu adalah atas pilihan dan masalahnya tersendiri dan tidak ada kena mengena dengan fitnah keretakan kepercayaan Amanah terhadap kepimpinan Anwar.
"Amanah akan tetap konsisten dengan pendirian setia bersama rakan-rakan seperjuangannya dan mengharapkan kesetiaan ini tidak disia-siakan dengan mengambil ringan soal individu Amanah yang ada kepentingan diri bertukar rumah rakan sesuka hati," katanya.