Pekerja swasta akan digalak pakai batik: Mohamaddin

Iklan
Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi (kiri) bersama Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Ibrahim Ismail tertarik melihat kain batik semasa menghadiri Sesi Libat Urus Bersama Usahawan Kraf Negeri Kelantan di Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan, Jalan Kuala Krai, Kampung Tunjung hari ini. - Foto Bernama

KOTA BHARU - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan menggalakkan pekerja sektor swasta memakai baju batik sama seperti penjawat awam yang digalakkan berbaju batik pada setiap Khamis bagi membantu industri batik negara terus berkembang.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, walaupun kementeriannya belum mengadakan pertemuan dengan wakil sektor swasta, beliau yakin hasrat kerajaan akan diterima baik.

Iklan
Iklan

"Kementerian berhasrat supaya pekerja sektor swasta turut memakai batik sekurang-kurangnya seminggu sekali seperti yang diamalkan kakitangan kerajaan.

"Namun begitu, kita belum tentukan bila mereka akan mula memakai batik kerana belum mengadakan perbincangan lanjut untuk dimuktamadkan,” katanya selepas Program Sesi Libat Urus Bersama Usahawan Kraf Kelantan di Lembaga Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan di sini, hari ini.

Iklan

Mohamaddin berkata, pihaknya mendapat maklum balas positif terutama daripada sektor perhotelan yang sebahagiannya telah mengamalkan pemakaian batik.

"Ini semua bertujuan untuk membantu industri batik supaya terus berkembang maju bukan sahaja di dalam negara malah sehingga ke luar negara,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, menurutnya, lambakan batik tiruan berlaku kerana harga batik tempatan dijual pada harga yang mahal.

"Jika harga dapat diturunkan, batik tempatan akan terus mendapat kepercayaan,” katanya.

Sebelum itu, dalam ucapan Mohamaddin berkata, beliau sudah berbincang dengan Kementerian Luar dan juga pejabat Tourism Malaysia di luar negara untuk pamerkan kraftangan negara termasuk batik di pejabat kedutaan dan juga pejabat Tourism Malaysia.

"Mereka bukan sahaja mempamerkan malah kraf berkenaan boleh dibeli dan ini secara tidak langsung dapat mempromosikan hasil kraf rakyat kita sendiri,” katanya. - Bernama