Kesalinghubungan internet sebagai utiliti ketiga

Iklan
Saifuddin

SHAH ALAM - Kerajaan komited untuk membangunkan pelan strategi digital nasional merentasi sektor industri dan rakyat yang dilihat mampu merapatkan jurang digital secara holistik.

Menerusi peruntukan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini, sebanyak RM9.4 bilion diberikan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Iklan
Iklan

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah menyifatkan, Belanjawan 2021 itu mampu melonjakkan proses gerak kerja kementeriannya dari segi kesalinghubungan internet, ekonomi digital, ekonomi kreatif dan keselamatan siber, selain mempercepatkan proses kelulusan dan pembinaan infrastruktur telekomunikasi.

"Internet sebagai ‘utiliti ketiga’ yang diiktiraf oleh kerajaan adalah satu dasar baharu, langkah ke hadapan yang tepat dan penanda aras sangat penting dalam memecut kerja memperkukuhkan infrastruktur digital negara,” katanya menerusi satu hantaran ‘Merentas Ruang’ di Facebooknya.

Iklan

Menurutnya, penggunaan internet seperti e-dagang, ekonomi gig dan pendidikan dalam talian meningkat dengan ketara sekali gus mempercepatkan pendigitalan ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Bagaimanapun, kata beliau, KKMM berdepan masalah dalam proses pelaksanaan khususnya melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta syarikat telekomunikasi iaitu dari segi kelewatan kelulusan kebenaran oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam penyediaan infrastruktur telekomunikasi.

Iklan

Terdapat beberapa faktor berkaitan Kebenaran Merancang (KM) seperti penyediaan rizab kemudahan komunikasi atau ruang khas, kebenaran menggunakan struktur multifungsi bagi mengoptimumkan penggunaan tanah dan penyelarasan perundangan, garis panduan dan kod teknikal.

"Mana-mana pihak yang ingin memajukan kawasan perumahan, bandar, perindustrian dan sebagainya di kawasan PBT perlu mendapatkan kelulusan KM.

"Biasanya, pemaju menyediakan perancangan dua utiliti iaitu air dan elektrik tetapi tidak semestinya merancang tentang hubungan internet kerana ia tidak dikira sebagai utiliti.

"Perancangan ini hanya timbul setelah projek pembangunan siap dibina. Inilah faktor utama mengapa kerja-kerja infrastruktur digital mengambil masa lama untuk disiapkan,” katanya.

Justeru, isu berkenaan dibawa pada mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara ke-36 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Oktober lalu dan mesyuarat bersetuju dengan permohonan yang dibuat KKMM.

Kata Saifuddin, Muhyiddin memberi pandangan bernas tentang cara-cara meningkatkan kapasiti infrastruktur digital negara dan mengurangkan kerenah birokrasi untuk menarik pelabur asing.

Perkara itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Perdana Menteri dengan Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri pada Disember ini dan ia adalah nadi kepada kerja-kerja Majlis Digital Negara dan IR4.0.

"Perkara ini adalah sebahagian daripada cadangan kami untuk dimasukkan ke dalam Garis Panduan Perancangan Infrastruktur (GPP-I) untuk memudahkan cara penyediaan infrastruktur digital.

"GPP-I ini akan dapat mengatasi tiga cabaran yang dihadapi dalam perancangan infrastruktur digital iaitu tiada sumber rujukan bagi perancangan infrastruktur digital bagi pembangunan baharu, kelewatan penyediaan perkhidmatan komunikasi dan kos yang tinggi, masa yang lama serta bantahan pengguna,” katanya.

Melalui GPP-I, ia akan menghasilkan tiga jenis manfaat, yang mana rakyat akan mendapat perkhidmatan komunikasi dengan lebih cepat, kapasiti lebih tinggi dan kualiti lebih baik.

"Ini menjadikan kesalinghubungan internet sebagai utiliti ketiga akan memberi suntikan yang amat diperlukan bagi KKMM melaksanakan Pelan Tindakan Jalinan Negara (Jendela) 2020-2022 yang dilancarkan Perdana Menteri pada Ogos lalu,” katanya.

Bajet mesra rakyat

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Amirah Ismail berpendapat, kerajaan PN mengagihkan belanjawan yang berhemat dengan menyediakan pelbagai inisiatif berupa kredit komunikasi (RM180 untuk B40), Program Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) sebanyak RM1.5 bilion dan Jendela sebanyak RM42 juta.

Dr Amirah

"Ia adalah bajet mesra rakyat kerana kerajaan memfokuskan kepada usaha serta perancangan bagi merapatkan jurang digital, di samping menyediakan prasarana telekomunikasi yang mampan dengan adanya program Prihatin serta Jendela,” katanya.

Mengenai pengiktirafan jaringan telekomunikasi sebagai utiliti ketiga, kata Amirah ia sangat bertepatan dan tiba masanya Malaysia perlu ‘berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah’ dengan negara-negara membangun. Katanya, jaringan telekomunikasi ini diibaratkan seperti satu keperluan dan bukan lagi satu kehendak semasa.

Peruntukan di bawah Jalinan Digital Negara (Jendela):

* B40 menerima RM180 seorang untuk perbelanjaan langganan internet atau menampung sebahagian kos pembelian telefon bimbit baharu.

* Data internet percuma melalui padanan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi berjumlah RM1.5 bilion.

* Sejumlah RM500 juta diperuntukkan bagi memastikan kesalinghubungan kepada 430 buah sekolah di seluruh negara.

* Perluasan perkhidmatan jalur lebar bagi tempoh 2021-2022 melalui MCMC berjumlah RM7.4 bilion.

* Kesalinghubungan internet di 25 kawasan perindustrian berjumlah RM42 juta.

Fokus untuk merancakkan aktiviti ekonomi digital:

* Program Peningkatan Kemahiran dan Latihan Semula oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berjumlah RM100 juta bagi memudahkan peralihan bakat tenaga kerja sedia ada ke bidang ICT.

* Skim Transformasi Pendigitalan Industri bernilai RM1 bilion bertujuan merancakkan kembali aktiviti pendigitalan dan automasi sehingga 31 Disember 2023.

* Insentif Shop Malaysia Online berjumlah RM150 juta bagi menggalakkan perbelanjaan secara dalam talian untuk 500,000 usahawan tempatan, pengusaha produk halal dan kraf tangan.

* CyberSecurity Malaysia (CSM) diberi peruntukan RM27 juta tangani jenayah siber.