Dua warga asing positif Covid-19 didakwa melalui Zoom

Iklan
Dua lelaki warga asing yang disahkan positif wabak koronavirus (Covid-19) hari ini masing-masing didakwa dari sebuah lokap dan wad sebuah hospital melalui aplikasi video “Zoom”. - Gambar hiasan

PETALING JAYA - Dua lelaki warga asing yang disahkan positif wabak koronavirus (Covid-19) hari ini masing-masing didakwa dari sebuah lokap dan wad sebuah hospital melalui aplikasi video"Zoom”.

Prosiding dakwaan terhadap lelaki warga Bangladesh yang berusia 33 tahun dan lelaki warga India berusia 43 tahun itu dikendalikan secara dalam talian yang dihadiri Majistret, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan peguam yang berada di mahkamah.

Iklan
Iklan

Bagi warga Bangladesh itu yang kini ditahan di sebuah lokap di sini, dia didakwa atas pertuduhan telah melarikan diri selepas disahkan positif Covid-19, yang perbuatannya itu boleh menyebabkan merebaknya penyakit yang boleh membahayakan nyawa.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah tapak projek di Kota Damansara, di sini pada jam 10 malam, 22 Oktober lalu mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Iklan

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang tidak diwakili peguam itu kerana dia tidak memahami Bahasa Melayu.

Pendakwaan dikendalikan TPR Sharifah Zafirah Syed Mustapa.

Majistret M Barath menetapkan 8 Februari depan untuk sebutan semula kes bagi kehadiran jurubahasa Bahasa Bangladesh.

Iklan

Sementara itu, bagi prosiding dalam talian di Mahkamah Majistret berasingan, lelaki warga India yang ditahan di wad sebuah hospital kerana positif Covid-19 pula mengaku tidak bersalah tinggal di Malaysia tanpa permit yang sah.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Persiaran Margosa Bandar Sri Damansara, di sini, pada jam 6.30 petang, 2 November lalu mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imegresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara hingga lima tahun dan sebat tidak melebihi enam kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan TPR Zamriah Zarifah Aris manakala tertuduh diwakili peguam Syed Azharul Asiq Syed Azhar

Majistret Muhammad Iskandar Zainol menetapkan 18 Januari untuk sebutan semula kes.