SABAK BERNAM - Seorang remaja berusia 17 tahun ditahan polis kerana mencederakan warga emas dalam kejadian samun di kediamannya di Kampung Bukit Kuching Tengah Jeram di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, hasil risikan dan maklumat awam, polis berjaya menahan suspek yang juga penganggur di Pekan Jeram pada jam 1.30 pagi tadi.
Menurutnya, dalam kejadian jam 2 petang itu, seorang warga emas berusia 85 tahun yang sedang berehat di ruang tamu rumah dikejutkan dengan kedatangan suspek terbabit.
"Suspek dipercayai menyerang warga emas dengan memijak badan dan kemudian mengacu sebilah pisau ke arah mangsa yang tinggal bersendirian supaya tidak menjerit," katanya dalam satu kenyataanhari ini.
Ramli berkata, suspek kemudian menggeledah barang dalam rumah dan mengambil sebuah telefon bimbit jenama Samsung milik mangsa sebelum bertindak melarikan diri melalui pintu di bahagian dapur," katanya.
Beliau berkata, akibat kejadian itu, warga emas itu cedera di kepala dan mendapat lima jahitan.
Katanya, polis yang memberkas suspek turut merampas pisau dan pakaian yang digunakan suspek.
"Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga Khamis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan (KK)," katanya.