SHAH ALAM - Para pencarum dinasihatkan agar tidak menggunakan wang akuan satu i-Sinar, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai modal perniagaan.
Memetik laporan Berita Harian, peringatan itu diberikan oleh Ketua Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan Pejabat Insurans Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Profesor Madya Dr Mohd Yusof Saari kepada pencarum yang layak mengeluarkan caruman dalam skim baharu yang diperkenalkan kerajaan tersebut.
Beliau berkata, wang berkenaan perlu digunakan sebaik mungkin untuk meneruskan kelangsungan hidup akibat tiada pekerjaan dan hilang punca pendapatan.
"Bagi pencarum yang terjejas mata pencarian dan ingin memulakan perniagaan, mereka perlu melalui saluran yang betul seperti mendapatkan bantuan daripada agensi kerajaan yang khusus, bukan bergantung kepada wang i-Sinar.
"Pencarum kena berhati-hati menggunakan wang pengeluaran yang ada dalam keadaan tidak menentu ini kerana risiko adalah tinggi jika ingin melaburkan semuanya dalam perniagaan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN [VIDEO] Pencarum terjejas boleh keluar akaun satu KWSP hingga RM60,000 KWSP
Akaun 1: Boleh keluar pendahuluan hingga RM60,000
Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata, keputusan KWSP untuk memfokuskan kepada golongan bersasar dan amat memerlukan saja adalah adil dalam mengimbangi keperluan rakyat dan ekonomi negara.
Katanya, jika semua ahli dibenarkan membuat pengeluaran, ia memberi kesan kepada dana KWSP dalam memacu pelaburan ekonomi yang bergantung kepada hasil tabungan kerajaan dan rakyat.
"Malaysia bakal menjadi negara tua pada 2030 dengan jangka hayat penduduk meningkat, bermaksud mereka ini memerlukan tabungan persaraan yang mencukupi," katanya.