Peralatan sembahyang pun nak dicurinya...

Iklan
Mohad Idris menunjukkan peralatan sembahyang dirampas dalam serbuan di kediaman suspek.

TANGKAK - Tidak hanya menyasarkan barangan mewah semata-mata, namun sekumpulan sindiket pecah rumah di daerah ini sanggup mencuri peralatan sembahyang meskipun sedar barangan itu tidak bernilai tinggi.

Bagaimanapun, kegiatan jenayah yang dilakukan sejak kira-kira setahun lalu itu berjaya dipatahkan apabila kumpulan digelar geng Kepala Gajah akhirnya tumpas.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohad Idris Samsuri berkata, keempat-empat suspek berusia antara 23 hingga 54 tahun itu ditangkap kurang tempoh 12 jam selepas memecah masuk sebuah rumah di Bukit Gambir di sini antara jam 10 pagi hingga 1 tengah hari.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak membuat serbuan di sebuah rumah dipercayai rumah sewa suspek di Taman Sri Jaya Bukit Gambir.

Iklan

"Hasil serbuan pada jam 12.30 tengah malam tadi, keempat-empat suspek diberkas dan polis menemui pelbagai peralatan dipercayai hasil kegiatan pecah rumah,” katanya pada sidang media di IPD Tangkak di sini, semalam.

Menurutnya, sebanyak 28 item terdiri daripada pelbagai patung peralatan sembahyang, beg tangan, jam tangan, telefon bimbit, barang kemas dan sebuah komputer riba serta wang tunai dirampas.

Iklan

"Geng ini dipercayai terlibat 11 lagi kes pecah rumah terutama di kawasan Bukit Gambir yang dilaporkan sejak awal tahun lalu. Ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Selain itu, dua antara mereka turut mempunyai rekod lampau. Salah seorang daripadanya bersabit 13 rekod jenayah iaitu dadah, penipuan dan pecah rumah serta seorang lagi rakannya juga terlibat dengan satu kes pecah rumah sebelum ini,” katanya.

Mohad Idris berkata, keempat-empat suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini dan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.