PEMBINAAN velodrom Azizulhasni Awang di Balai Besar di sini yang sekian lama dinanti rakyat Terengganu akhirnya telah mula dibina pada Disember tahun lepas dan dijangka siap April 2022.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerja-kerja pembinaan velodrom yang dianggarkan berjumlah RM11.8 juta itu kini telah mencapai 34 peratus.
"Mengikut tarikh asal siap adalah pada hujung tahun ini namun berikutan penularan pandemik koronavirus (Covid-19) telah berlaku kelewatan. Namun, apa yang saya lihat sekarang kerja-kerja pembinaan sedang berjalan dengan lancar dan agak pantas,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan velodrom Azizulhasni Awang di Balai Besar, di sini hari ini.
Katanya, kerajaan negeri berharap velodrom Azizulhasni Awang yang berkeluasan kira-kira dua hektar itu bukan sahaja dijadikan sebagai tempat latihan malah ia boleh dijadikan lokasi penganjuran kejohanan berbasikal trek bagi peringkat kebangsaan.
Selain itu katanya, dengan kewujudan velodrom yang diumumkan sejak 2010 itu, kerajaan negeri berharap lebih ramai atlet berbasikal trek dari Terengganu dapat dilahirkan pada masa hadapan.
Mengulas mengenai lawatannya hari ini, Wan Sukairi berkata, beliau telah meminta pihak pengurusan projek untuk melakukan beberapa penambahbaikan terhadap pembinaan projek velodrom itu termasuk dalam aspek keselamatan dan ruang penonton.
"Tanah yang kita (kerajaan negeri) gazetkan untuk projek ini adalah seluas lebih kurang 11 ekar (4.5 hektar) dan tapak velodrom ini hanya mengambil separuh daripada keluasan tanah. Maksudnya kita ada banyak ruang lagi yang boleh digunakan. Setakat ini, ada sedikit isu berkaitan penonton...ia tidak muat untuk jumlah penonton yang ramai,” katanya.
Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri turut melihat kemungkinan untuk membina sebuah trek sukan berbasikal lasak BMX di atas tanah yang sama dengan velodrom Azizulhasni Awang tersebut, sebagai penambahan kepada Trek BMX sedia ada yang terletak di Bukit Bauk di sini. - Bernama