KELMARIN lebih dua juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendapat khabar gembira.
Manakan tidak, kemudahan akses simpanan persaraan akaun satu, i-Sinar ibarat durian runtuh kepada pencarum KWSP.
Perubahan jumlah pengeluaran antara RM 4,000 sehingga RM 60,000 turut menggembirakan warga pencarum KWSP.
Namun, ia bergantung kepada nilai wang simpanan yang ada dalam akaun satu.
Mungkin tidak menggembirakan apabila pengeluaran hanya dibenarkan kepada pencarum dalam tiga kategori iaitu kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan.
Bagaimanapun, keputusan KWSP itu tetap disambut baik kerana golongan tersebut sudah tentunya kumpulan rentan yang terjejas teruk akibat Covid-19.
Apatah lagi jumlah penerima yang sebelum ini hanya setakat 600,000 orang kini naik kepada dua juta, ia adalah peningkatan lebih dua kali ganda.
Sudah tentu ia dapat mengurangkan beban ekonomi individu yang terjejas terhadap pinjaman sedia ada, bil utiliti yang tertunggak mahupun kegunaan perbelanjaan kehidupan harian atau menggunakan dana yang dikeluarkan itu sebagai modal perniagaan.
Tahniah kepada KWSP dan kerajaan yang bersedia meminda Belanjawan 2021 kerana memahami getir hidup rakyat di bawah.
Ketika KWSP dan kerajaan sudah menunaikan tanggungjawab mereka, pencarum juga mempunyai tanggungjawab tersendiri.
Wang yang dikeluarkan sepatutnya digunakan dengan berhemah dan lebih penting ke jalan yang betul.
Wang tersebut tidak sepatutnya digunakan untuk menambah perabot rumah atau membeli telefon bimbit yang terbaru di pasaran atau menukar gajet baharu yang lebih canggih.
Wang itu juga seharusnya digunakan untuk tujuan persekolahan anak-anak. Malah, lebih molek jika wang berkenaan dapat dijadikan modal untuk bertatih berniaga bagi menambah pendapatan.
Hanya dengan cara itu, usaha dan inisiatif kerajaan ini bukanlah sesuatu yang sia-sia dan benar-benar membantu rakyat Malaysia yang benar-benar dibelenggu kesusahan dek pandemik Covid-19