PELUMBA negara, Hafizh Syahrin Abdullah bertekad mengakhiri tugasnya bersama pasukan Aspar dengan tunggangan lebih baik menjelang Grand Prix (GP) Portugal hujung minggu ini.
Menurut Hafizh Syahrin yang bakal menyertai pasukan baharu - NTS RW Racing dalam saingan Moto2 musim depan, dia mahu menghadiahkan sesuatu buat Aspar apabila turun menggegar Litar Antarabangsa Algarve nanti.
"GP Portugal kali ini adalah perlumbaan terakhir saya bersama pasukan Aspar. Jadi saya berazam untuk memberikan aksi yang terbaik pada perlumbaan terakhir musim ini.
"Bagi saya, ia sebagai tanda penghargaan khususnya kepada kesemua krew teknikal Aspar yang sentiasa bekerja keras dalam menyiapkan jentera saya setiap kali perlumbaan berlangsung,” kata bekas pelumba MotoGP negara itu.
Pada GP Valencia di Litar Ricardo Tormo kelmarin, Hafizh Syahrin yang juga dikenali dengan gelaran El Pescao sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-19.
Hafizh Syahrin berkata, dia berdepan dengan beberapa masalah pada jenteranya sehingga menjejaskan tunggangannya sepanjang perlumbaan.
"Saya berharap segala masalah yang berlaku dapat diatasi menjelang perlumbaan GP Portugal. Ini peluang terakhir saya untuk sekurang-kurangnya mendapat kedudukan lebih baik,” ujarnya.
Pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi pula memburu penamat yang boleh dibanggakan pasukannya - Petronas Sprinta Racing di Litar Antrabangsa Algarve nanti selepas mengalami kemalangan pada GP Valencia kelmarin.
"Saya tidak putus asa dan akan cuba yang terbaik pada perlumbaan terakhir. Saya akan buktikan sesuatu dan berharap dapat memperbaiki keputusan di Valencia dan menamatkan aksi dengan keputusan yang baik,” jelasnya.