JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Johor disyorkan memotong gaji Menteri Besar, semua Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai langkah penjimatan seterusnya menunjukkan keprihatinan dalam mendepani wabak koronavirus (Covid-19).
Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian berkata, beliau akan mengesyorkan pemotongan gaji itu dalam sesi perbahasan Belanjawan Johor 2021 yang bermula pada 26 November hingga 6 Disember.
Menurutnya, pemotongan gaji bukan perkara baharu kerana sewaktu kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) diketuai beliau sebagai Menteri Besar pada tahun 2018 pernah melaksanakan langkah itu.
"Saya bersedia dipotong gaji. Ketika ini sesuai dikenakan potongan gaji kepada semua wakil rakyat, Exco dan Menteri Besar untuk tunjukkan kita prihatin. Pemotongan gaji 10 peratus hingga 20 peratus dapat jimatkan kira-kira RM54,000.
"Jangan sampai membantah cadangan ini kerana pemotongan gaji ini dapat membantu rakyat di mana wang tersebut dicadangkan disalurkan kepada tabung bencana negeri dan bantu gelandangan," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kempas di sini hari ini.
Terdahulu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 9 November lalu, mencadangkan agar mereka yang berpendapatan tinggi dalam sektor awam atau swasta menyumbang 10 peratus daripada gaji mereka untuk membantu golongan miskin semasa Covid-19 ketika ini.
Osman yang merupakan Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam turut menegaskan, ini bukan masanya kerajaan negeri menaikkan gaji wakil rakyat sebagaimana dilakukan kerajaan Kelantan pada 9 November lalu.
"Sekarang bukan masa sesuai untuk sebarang syor menaikkan gaji.
"Jika ada cadangan untuk naikkan gaji wakil rakyat Johor, saya orang pertama yang akan bantah," katanya.
Dalam pada itu Osman berharap agar kerajaan negeri meneruskan meneruskan pemberian insentif bantuan kepada kakitangan kerajaan negeri, imam, penghulu dan ketua kampung bagi menghargai pengorbanan mereka yang bertungkus-lumus sejak wabak Covid-19 melanda.