KUALA LUMPUR - Majikan serta pekerja dalam sektor pembinaan dan keselamatan di negara ini perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk memutuskan rantaian jangkitan pandemik koronavirus (Covid-19) kluster pekerja yang ketika ini menunjukkan trend peningkatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pematuhan terhadap SOP adalah tanggungjawab pekerja, majikan dan juga komuniti setempat.
Menurutnya, kegagalan mematuhi SOP merupakan salah satu aspek penilaian risiko yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika ini.
"Keutamaan kita hari ini adalah mengasingkan semua kes positif yang ada dalam kalangan pekerja supaya kita dapat putuskan rantaian penularan dalam kalangan mereka dan komuniti.
"Kita perlu laksana dan patuh SOP untuk terus melandaikan lengkung serta mengurangkan tekanan di sektor kesihatan awam dalam mengatasi wabak ini," katanya pada Rancangan Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan di TV1 hari ini.
Beliau berkata, kes baharu Covid-19 di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KL) menunjukkan peningkatan ketara semalam membabitkan kluster pekerja.
Katanya, Selangor dan KL masing-masing merekodkan 271 dan 245 kes dan jika angka kedua-duanya dicampurkan ia menyamai data kes harian di Sabah.
Bagaimanapun, Dr Adham berkata, setakat ini trend peningkatan itu masih lagi dalam kawalan dengan syarat semua pihak terlibat mematuhi SOP di bawah Akta 342 Kawalan Penyakit dan Pencegahan untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19.
"Kita perlu terus patuh SOP dengan memakai pelitup muka dan mengutamakan aspek kebersihan diri dengan sentiasa mencuci tangan.
"Sementara kita menunggu vaksin, penjarakkan fizikal perlu dijaga, tidak ada perhimpunan bersifat besar-besaran dan aktiviti sosial lain juga perlu dielakkan.
"Keutamaan kita hari ini untuk menjaga kawasan hijau dan kuning serta kurangkan kes di kawasan merah. Kita harap lebih banyak kawasan hijau dapat diwujudkan menjelang hujung tahun," katanya.
Sementara itu, menyentuh mengenai vaksin, Dr Adham berkata, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Covid-19 untuk mendapatkan akses kepada vaksin itu.
Menurutnya, jawatankuasa itu diketuai KKM, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Luar.
"Kerajaan cuba dapatkan (vaksin) seawal suku pertama tahun 2021 untuk kegunaan rakyat negara kita.
"Kita sedang lihat pembangunan pengeluaran vaksin di dunia melibatkan beberapa negara dan beberapa pengeluar. Setakat ini ada 10 pengeluar vaksin yang aktif bergerak membangunkan vaksin pada ujian klinikal fasa ketiga dan ada juga vaksin sudah siap," katanya.