ALOR SETAR - Bilangan banduan dan tahanan yang ramai dalam sel-sel penjara yang padat serta sesak menjadi antara penyebab Kluster Tembok di negeri ini menjadi penyumbang kepada kes tertinggi pada gelombang kedua penularan pandemik koronavirus (Covid-19) yang lalu.
Exco Kesihatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, situasi itu memudahkan transmisi jangkitan sesama mereka melalui sentuhan, titisan atau rembesan pernafasan ditambah dengan bilangan tahanan yang berkemungkinan melebihi kapasiti.
Menurutnya, selain itu pada peringkat awal, didapati tiada pengasingan atau sel kuarantin yang bersesuaian dapat dilaksanakan bagi tahanan sebelum mereka dimasukkan ke dalam kelompok umum.
"Ini menyebabkan mereka yang berisiko menyebarkan jangkitan kepada tahanan lain dan berdasarkan rekod sehingga15 November 2020 seramai 1,132 orang tahanan dari Penjara Alor Setar dan 320 orang banduan dari Penjara Pokok Sena telah disahkan menghidap Covid-19 dalam kluster berkenaan,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Ismail Salleh (Amanah- Pengkalan Kundor) mengenai jangkitan Covid-19 dalam Kluster Tembok ketika sesi soal jawab pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Mohd Hayati berkata, melihat kepada kes dalam kluster ini yang semakin membimbangkan, beberapa langkah telah diambil untuk mengekang penularannya.
"Langkah utama yang telah dijalankan ialah pengesanan aktif kes Covid-19 di mana saringan swab dijalankan kepada semua tahanan Penjara Alor Setar.
"Bagi banduan di Penjara Pokok Sena pula, ujian swab dijalankan bagi kesemua banduan pra-bebas atau bergejala manakala banduan lain disaring menggunakan ujian RTK-Ab (Rapid test kit-antibody)," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kes-kes yang disahkan positif akan dinilai secara klinikal dan pesakit yang klasifikasikan sebagai kategori satu hingga tiga (tidak memerlukan bantuan oksigen) akan dihantar ke Pusat Rawatan Risiko Rendah atau Low Risk Care Center (LRCC).
Katanya, bagi pesakit yang diklasifikasikan sebagai kategori empat hingga lima (memerlukan bantuan oksigen) akan ditempatkan di Pusat Rawatan Sementara atau Makeshift Treatment Center (MTC) dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) mengikut keperluan.
"Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah dan Jabatan Penjara juga telah berbincang dan bersetuju untuk memindahkan tahanan serta banduan dari Penjara Alor Setar ke Penjara Pokok Sena bagi mengurangkan risiko penularan.
"Penjara kuarantin di Blok Wanita, Penjara Alor Setar juga diwujudkan bagi menempatkan banduan baru yang akan diasingkan selama 14 hari sebelum ditempatkan di sel-sel umum penjara," katanya.
Selain itu, Dr Mohd Hayati berkata, satu pusat kuarantin juga telah diwujudkan di Institut Aminuddin Baki (IAB), Jitra yang dikhaskan bagi menempatkan banduan yang telah bebas sebelum mereka dibenarkan pulang ke komuniti.
"Selain itu, pihak kesihatan juga telah mendapatkan senarai banduan yang mempunyai masalah kesihatan dan data tersebut sentiasa dikemaskini selain penilaian risiko telah dijalankan ke atas mereka.
"Para tahanan dan banduan juga dipastikan menerima nutrisi yang seimbang dan mencukupi melalui program diet yang sihat dan berjadual bagi memastikan mereka menerima tahap nutrisi yang baik,"katanya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Alor Setar bermula 5 Oktober hingga 2 November lalu dan di Penjara Pokok Sena bermula 11 Oktober hingga 7 November lalu bagi mengekang penularan Covid-19 dalam Kluster Tembok.