Pengusaha futsal tunggu masa gulung tikar

Iklan
Wan Noor Faril Azli membuat pemeriksaan rutin di gelanggang futsal WnS di Jalan Kuala Sungai, Alor Setar bagi memastikan berada dalam keadaan baik.

ALOR SETAR - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan sejak 6 November lalu memberikan kesan besar kepada pengusaha gelanggang futsal yang baru sahaja mahu kembali bernafas.

Pengurus Pemasaran WnS Futsal Centre, Wan Noor Faril Azli Wan Haron berkata, biarpun sukan futsal masih dibenarkan namun kurang mendapat sambutan disebabkan hanya dibenarkan untuk latihan sahaja tanpa membabitkan sentuhan fizikal.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tempoh had beroperasi yang dibenarkan sehingga 10 malam sahaja sepanjang PKPB juga memberikan tekanan kepada penggiat sukan futsal kerana hanya mampu memberikan pulangan yang sangat sedikit.

"Kami akui penggiat industri sukan futsal kini hanya 'nyawa-nyawa ikan' malah sudah ada yang telah gulung tikar akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Iklan

"Di Alor Setar sahaja, ini merupakan kali ketiga PKP dilaksanakan. Pertama PKP seluruh negara, kedua Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Daerah Kota Setar pada September dan terbaharu adalah PKPB sehingga 6 Disember depan," katanya ketika ditemui di Gelanggang Futsal WnS di Jalan Kuala Sungai, dekat sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Wan Noor Faril Azli berkata, pengusaha kemudahan gelanggang futsal sepertinya kembali bernafas pada pertengahan Julai lalu apabila PKP ditamatkan namun kembali ditutup pada September selama dua minggu akibat PKPD Daerah Kota Setar.

Iklan

"Sekarang PKPB pula. Kami dah buka mula jam 9 pagi tapi pada sebelah pagi tiada yang datang bermain futsal kerana mereka hanya datang selepas jam 5 petang, itu pun tidak ramai.

"Dahulu ramai budak- budak yang datang main selepas waktu sekolah tetapi disebabkan Covid-19, mungkin ibu bapa mereka sudah melarang untuk berbuat demikian," katanya.

Justeru, dia berharap kerajaan terutamanya melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat melonggarkan syarat agar perlawanan futsal dapat diteruskan termasuk melanjutkan waktu operasi sehingga 12 tengah malam.

"Bagi negeri yang berisiko rendah, MKN wajar untuk mempertimbangkan kembali syarat terbabit dan jika diteruskan begini memang pengusaha futsal seperti kami akan gulung tikar tidak lama lagi.

"Selain itu kita juga berharap kerajaan dapat meneruskan moratorium bagi meringankan beban golongan peniaga seperti kami. Keuntungan yang sedikit ini memang tidak cukup untuk kami bayar segala hutang dan liabiliti lain yang perlu ditanggung," katanya.