25 menara komunikasi baharu dibina di Kedah

Iklan
Wan Roman ketika menjawab soalan Azhar Ibrahim (Pas-Ayer Hitam) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.

ALOR SETAR - Sebanyak 25 menara telekomunikasi baharu yang sedang dalam proses pembinaan di seluruh Kedah dijangka siap dan beroperasi secara berperingkat bermula suku pertama tahun depan.

Pengerusi Penerangan, Komunikasi dan Multimedia Kedah, Wan Romani Wan Salin berkata, pembinaan itu merupakan salah satu langkah penambahbaikan jaringan telekomunikasi untuk meningkatkan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi di negeri ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagi perkhidmatan jalur lebar talian tetap, sebanyak 4,736 lagi sambungan di bawah projek Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB)

masih dalam peringkat pelaksanaan dan dijangka siap secara berperingkat menjelang penghujung tahun 2020.

Iklan

"Selain itu, lokasi yang mempunyai capaian lemah atau tiada liputan 4G juga dikenal pasti menerusi kerjasama dengan pihak pentadbiran daerah di seluruh Kedah.

"Ia termasuk aduan awam dan turun padang untuk menilai situasi liputan di beberapa kawasan berkaitan sebagai rujukan kepada ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam merencana perancangan serta aspirasi pelan Jalinan Digital Negara (Jendela)," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Azhar Ibrahim (Pas-Ayer Hitam) yang bertanya mengenai langkah dan kemajuan dilakukan serta dicapai dalam bidang komunikasi sejak kerajaan baharu mengambil alih pentadbiran negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.

Wan Romani berkata, untuk perkhidmatan jalur lebar mudah alih pula, sebanyak 105 menara baharu akan dibina serta sejumlah 1,162 alat pemancar komunikasi sedia ada akan dinaik taraf kepada teknologi 4G.

"Kesemua inisiatif ini akan dilaksanakan secara berperingkat dari tahun ini sehingga 2022," katanya bagi menjawab soalan tambahan Azhar yang ingin tahu sama ada Wan Romani bersetuju hal berkaitan komunikasi perlu disegerakan.

Dalam perkembangan lain, Wan Romani berkata, di bawah pelan Jendela, rangkaian gentian optik akan diperluaskan kepada 91,393 premis di negeri ini yang akan memberi akses kepada perkhidmatan berkelajuan Gigabit.