Kelantan belanja RM2 juta lahirkan jaguh sukan

Iklan
Wan Roslan (berdiri tiga dari kiri) pada Majlis Perasmian dan Penyampaian Kit Kepada Peserta Program Kelantan Body Transformation Challenge di Kolej Islam Sultan Ismail Petra (Kias) Nilam Puri, Kota Bharu.

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan memperuntukkan RM2 juta untuk merancakkan lagi usaha mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang sukan di negeri ini.

Exco Belia, Sukan dan badan bukan kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, peruntukan itu melibatkan program di peringkat akar umbi seperti Kijang Emas, Bakat dan Cilik (pelapis).

Iklan
Iklan

"Ini adalah salah satu usaha kita dalam melahirkan lebih ramai jaguh-jaguh sukan yang bukan sahaja mampu mengharumkan nama negeri malah negara pada masa hadapan.

"Kijang Emas merujuk kepada sukan yang telah menyumbang pingat emas kepada Kelantan.

Iklan

"Bakat pula bagi sukan berpotensi membawa pingat dan cilik adalah perintis kepada program pembangunan akar umbi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian dan Penyampaian Kit Kepada Peserta Program Kelantan Body Transformation Challenge di Kolej Islam Sultan Ismail Petra (Kias) Nilam Puri di sini hari ini.

Iklan

Menurutnya, sebanyak 16 acara yang berpotensi telah disenaraikan di bawah program berkenaan dan mampu membutirkan pingat pada Sukan Malaysia (Sukma) pada tahun-tahun akan datang.

Katanya, antara sukan itu ialah olahraga, takraw, bola sepak dan banyak lagi.

Dalam perkembangan lain, Wan Roslan berkata, sukan olahraga Kelantan bakal mendapat sentuhan jurulatih dari Georgia iaitu Viatcheslav Vassiliev, 56.

Katanya, khidmat jurulatih terbabit dipilih berpandukan kepada rekod serta pengalaman luas dan kepakarannya dalam bidang olahraga.