BAGHDAD - Empat roket dilepaskan dengan menyasarkan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Baghdad lewat malam semalam.
Serangan itu merupakan insiden pertama sejak kumpulan bersenjata yang pro-Iran bersetuju melaksanakan satu gencatan senjata pada bulan lalu.
Bunyi beberapa letupan besar didengari oleh wartawan AFP diikuti dengan sejumlah bunyi tembakan manakala tembakan suar yang berwarna merah menerangi langit sekali gus menunjukkan sistem pertahanan roket C-RAM di kedutaan tersebut telah ditempatkan.
Seorang jurucakap pasukan tentera perikatan diketuai AS berkata, pasukan pertahanan Iraq telah mengesahkan satu serangan tembakan ke arah kedutaan negara berkenaan tetapi enggan memberikan ulasan tentang penggunaan roket C-RAM.
Sejak Oktober 2019, hampir 90 serangan roket dan bom tepi jalan telah berlaku dengan menyasarkan kedutaan-kedutaan asing, tentera dan lain-lain kemudahan di Iraq.
Tentera AS kemudian bertindak balas dengan melakukan pengeboman ke atas pasukan bersenjata Kataeb Hezbollah dan lain-lain kumpulan bersenjata pro-Iran yang dipersalahkan berikutan serangan-serangan tersebut.
Pada bulan lalu, Washington mengancam untuk menutup pejabat diplomatiknya di Zon Hijau yang dikawal ketat jika serangan tersebut masih tidak berhenti.
Kata dua itu telah menyebabkan kumpulan-kumpulan bersenjata yang pro-Iran mengumumkan satu gencatan senjata untuk satu tempoh yang tidak diperincikan.
Serangan-serangan roket kemudian dihentikan dengan serangan semalam di kedutaan AS adalah yang pertama berlaku dalam tempoh sebulan.
Dalam pada itu, serangan terbaharu tersebut berlaku beberapa jam selepas Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo menghubungi Perdana Menteri Iraq, Mustafa al-Kadhemi.
Pada masa yang sama, AS mengumumkan ia akan mengurangkan bilangan askar di Afghanistan dan Iraq kepada 2,500 orang di setiap negara iaitu jumlah anggota tentera terkecil sejak hampir 20 tahun. - AFP