Bertenang, jangan bertindak melulu

Iklan
Fahmi

BUKIT MERTAJAM - Masyarakat di negara ini khususnya di Pulau Pinang diingatkan supaya tidak terpengaruh dan cuba mencetuskan ketegangan berikutan pertelingkahan yang berlaku di Kuil Sri Mariamman di USJ 25, Selangor.

Sebaliknya, semua pihak tidak mengira kaum dan agama perlu bersatu memastikan keharmonian negara terus terpelihara agar semua warganegara disini dapat hidup dengan aman dan tenang.

Ketua AMK Permatang Pauh, Fahmi Zainol berkata, insiden yang berlaku di Kuil Sri Mariamman adalah keterlaluan memandangkan apa yang terjadi bukanlah berpunca daripada isu perkauman.

"Kami menggesa agar kerajaan bertindak segera dalam menyelesaikan isu ini daripada ia terus berlarutan," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Tidak kompromi pihak ganggu gugat keharmonian negara']

Menurutnya, semua pihak perlu bertenang dan bertindak matang dengan menyerahkan kes berkenaan kepada pihak berkuasa dan bukannya bertindak sendiri.

"Menteri Perpaduan, P Waytha Moorthy seharusnya membendung perkara ini agar tiada kejadian tidak diingini berlaku dan bukannya bertindak seperti mencurah minyak pada api yang sedang marak," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, pihak berkuasa juga haruslah mengawasi kawasan yang berpotensi berlakunya perhimpunan dan seterusnya berlakunya pergaduhan.

"Ayuh bersatu, hentikan perbalahan demi negara Malaysia yang tercinta dan jangan kita biarkan keharmonian yang selama ini kita rasai musnah begitu sahaja," katanya.