Malaysia-China tandatangan perjanjian kerjasama vaksin Covid-19

Iklan
Majlis menandatangani perjanjian berkenaan disempurnakan oleh Menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin dan rakan sejawatnya Wang Zhigang secara maya.

KUALA LUMPUR - Malaysia dan China hari ini menandatangani perjanjian kerjasama dalam pembangunan vaksin yang selamat dan berkesan selaras usaha kedua-dua negara memerangi pandemik koronavirus (Covid-19).

Menurut kenyataan bersama oleh Kementerian Luar dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), majlis menandatangani perjanjian berkenaan disempurnakan oleh Menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin dan rakan sejawatnya Wang Zhigang secara maya.

Iklan
Iklan

"Perjanjian khusus ini akan dikendalikan di bawah pengawasan Jawatankuasa Tertinggi dipengerusikan oleh Menteri Luar kedua-dua negara iaitu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan rakan sejawatnya Wang Yi seperti yang dipersetujui pada 13 Oktober lalu untuk mempromosikan kerjasama pragmatik dan pendekatan yang lebih koheren dalam menangani cabaran pasca-wabak," kata kenyataan itu.

Terdahulu, ketika pertemuan dua hala secara maya itu, Khairy dan Zhigang bersepakat untuk meningkatkan kerjasama dalam menangani pandemik Covid-19 melalui diplomasi sains.

Iklan

"Menerusi perjanjian ini, Malaysia diberi keutamaan akses kepada vaksin Covid-19 yang dibangunkan oleh China, perkongsian pengetahuan dan kepakaran serta kemudahan saintifik dan keupayaan teknologi untuk memajukan pembangunan vaksin di kedua-dua negara.

"Kedua-dua negara juga menyokong penyertaan sektor awam dan swasta termasuk universiti, institusi, masyarakat dan organisasi dalam projek kerjasama bersama," menurut kenyataan itu.

Iklan

Di samping itu, kedua-dua negara juga bersetuju menyokong dan menggalakkan perusahaan mereka untuk menjalin kerjasama menyeluruh dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin serta pembekalan.

Perjanjian berkenaan akan berkuat kuasa untuk tempoh lima tahun pertama dan dilanjutkan secara automatik untuk tempoh setahun pada satu masa, setelah dipersetujui bersama oleh kedua-dua belah pihak. - Bernama