Nora Anne ada masalah ketidakupayaan fizikal, pembelajaran

Iklan
Nora Anne

SEREMBAN - Guru besar Nora Anne Quoirin hari ini memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa remaja itu mempunyai masalah ketidakupayaan dari segi fizikal dan pembelajaran sepanjang tempoh empat tahun dia bergelar pelajar di Garratt Park School, London.

Michael Revees, 59, berkata, Nora Anne memulakan pembelajarannya pada September 2015 dan semasa penilaian pertama dibuat, remaja warga Ireland-Perancis itu didapati memiliki postur dalaman dan keseimbangan badan yang lemah serta kebolehan berbahasa yang terhad.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, oleh itu Nora Anne tidak mampu menulis dengan baik serta memperbaiki ayat dan dia hanya boleh mengikut arahan yang mudah selain tidak akan berbual dengan individu tidak dikenali.

"Dia tidak percaya kepada orang lain dan kadang-kadang dia berdepan masalah (dengan keadaan ini) ... ada kalanya dia sentiasa ceria serta tahu apa yang betul dan apa yang salah.

Iklan

"Dia juga sukar untuk mengambil bahagian dalam sebarang program dan tidak boleh berlari kerana takut akan jatuh,” katanya.

Revees yang merupakan saksi ke-37 dalam prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Nora Anne, berkata demikian ketika memberi keterangan pada hari ke-17 di hadapan Koroner Maimoonah Aid.

Iklan

Prosiding hari ini berlangsung secara dalam talian susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat. (PKPB).

Ditanya peguam keluarga Nora Anne, Louise Azmi, jika beliau mempunyai sebarang pendapat mengenai apa yang berlaku kepada Nora Anne yang didakwa mungkin memanjat tingkap chalet untuk keluar semasa dia dan keluarganya bercuti di Malaysia pada Ogos tahun lepas, Revees berkata perkara itu adalah sesuatu yang sukar dibayangkannya.

"Tidak... saya tidak percaya dia boleh berbuat demikian. Saya tidak dapat bayangkan dia mempunyai kemahiran, keseimbangan atau kekuatan memanjat tingkap itu untuk keluar,” kata guru besar yang berkhidmat di Garratt Park School sejak 2006.

Ditanya sama ada remaja itu boleh berjalan di kawasan tebing yang berbatu, Reeves berkata: ”Dia akan berasa sukar untuk berbuat demikian meskipun dalam jarak yang dekat... ia amat sukar dilakukan.”

Menjawab soalan Maimoonah berhubung prestasi Nora Anne sepanjang tempoh empat tahun dia belajar di sekolah itu, Revees berkata, remaja tersebut hanya menunjukkan sedikit kemajuan.

Maimoonah: Anda tahu mengenai diet Nora Anne atau tabiatnya ketika ke tandas?

Michael: Ya. Nora boleh makan sendiri tanpa sebarang kesulitan dan dia ke tandas semasa berada di sekolah tanpa bantuan sesiapa.

Nora Anne, 15, dilaporkan hilang pada 4 Ogos tahun lalu, sehari selepas dia dan keluarganya tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan di Pantai di sini, yang terletak kira-kira 60 kilometer dari Kuala Lumpur.

Mayat remaja itu ditemukan sembilan hari kemudian pada 13 Ogos berhampiran sebatang anak sungai di kawasan berbukit kira-kira 2.5 kilometer dari pusat peranginan tersebut susulan operasi mencari secara besar-besaran oleh pihak berwajib.

Laporan awal bedah siasat menunjukkan tidak ada unsur jenayah dalam kematian Nora Anne dan remaja itu meninggal dunia akibat pendarahan gastrousus susulan tekanan berpanjangan serta kebuluran.

Prosiding ditangguhkan sehingga 23 November depan. - Bernama