KOTA KINABALU - Polis memburu seorang lelaki yang disahkan positif koronavirus (Covid-19) kerana menghilangkan diri ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) di sini pada Isnin lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang, lelaki berusia 45 tahun itu bersama empat pesakit lain dibawa dari Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid Intan ke hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Bagaimanapun, lelaki itu bertindak melarikan diri sebaik tiba di hospital berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati lelaki yang dibawa naik ke tingkat lima di wad Covid diarahkan supaya menunggu di ruangan lif selepas seorang lagi pesakit dihantar ke wad berhampiran.
"Bagaimanapun, sebaik kembali ruangan lif berkenaan, pengiring kumpulan itu mendapati lelaki itu sudah menghilangkan diri dan hanya tinggal empat pesakit.
"Pengiring kemudiannya bertanya kepada anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang menjaga di tingkat berkenaan dan diberitahu bahawa lelaki berkenaan mengekori pengiring sebelum menghilangkan diri.
"Usaha mengesan lelaki terbabit terus dilakukan di sekitar hospital namun gagal menemuinya," katanya ketika dihubungi hari ini.
Habibi berkata, siasatan lanjut mendapati lelaki berkenaan dimasukkan ke pusat kuarantin pada 13 November lalu selepas disahkan positif Covid-19.
Katanya, setakat ini lelaki terbabit masih gagal dikesan dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.