Liat bayar yuran PIBG

Iklan
Perkongsian pendapat Fadli mengenai sikap ibu bapa dan penjaga dalam membantu memberi sumbangan kepada PIBG mendapat lebih 3,700 ‘like’, 3,300 perkongsian dan lebih 100 komen.

KEBANYAKAN Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di seluruh negara mengalami kemerosotan dana selepas tular di laman sosial bahawa yuran PIBG sekolah bukanlah bayaran wajib sebaliknya hanyalah sumbangan daripada ibu bapa pelajar.

Siasatan skuad Sinar Siasat mendapati rata-rata pihak sekolah terutamanya guru-guru mengeluh apabila kutipan yuran merudum teruk daripada sekitar 70 peratus hingga 80 peratus kepada sekitar 40 peratus hingga 50 peratus sahaja, gara-gara ibu bapa semakin liat membuat bayaran yuran PIBG.

Iklan
Iklan

Lebih mengejutkan selepas mengetahui yuran PIBG hanyalah wang sumbangan, golongan yang paling liat membuat bayaran adalah ibu bapa yang berpendapatan tinggi dan ia banyak berlaku di sekolah-sekolah kebangsaan.

Yuran sumbangan PIBG bagi setiap sekolah adalah berbeza apabila ditetapkan pihak PIBG sekolah masing-masing, bagaimanapun puratanya meletakkan yuran sekitar RM50 setahun.

Iklan

Seorang guru yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) (1) Gombak, Selangor, Mohd Fadli Salleh mendedahkan, golongan ibu bapa dalam kategori kurang berkemampuan didapati lebih bertanggungjawab menjelaskan yuran sumbangan buat PIBG di sekolah kebangsaan.

Mohd Fadli

Katanya, senario ibu bapa pelajar termasuklah yang berpendapatan tinggi enggan membayar yuran PIBG menyebabkan PIBG berada dalam dilema kewangan untuk melaksanakan program bagi murid sekolah serta menyediakan persekitaran sekolah lebih menarik buat murid.

Iklan

"Mengejutkan, golongan kategori kurang berkemampuan atau miskin lebih ramai membayar yuran PIBG. Senario liat membayar sumbangan yuran PIBG ni, selepas tersebarnya sumbangan PIBG tidak wajib dijelaskan.

"Pekeliling mengenainya juga tersiar menyebabkan makin ramai orang (ibu bapa) tak nak bayar sedangkan setiap tahun PIBG perlu dana sekitar RM100,000 untuk sekolah yang mempunyai sekitar 1,000 murid. Itu anggaran biasa. Kos besar melibatkan hari kecemerlangan, hari sukan, baik pulih bangunan, tandas, kertas, penceramah, perkhemahan dan lain-lain lagi juga perlu diambil kira," dedahnya berkongsi pengalaman.

Selain masalah liat menjelaskan bayaran sumbangan yuran PIBG berkenaan dilema besar dihadapi PIBG sekolah kebangsaan adalah kehadiran ibu bapa ketika mesyuarat agung PIBG adalah tidak memuaskan.

"Masalah besar timbul bila yang tak hadir persoalkan ke mana duit, tidak setuju dengan program dan aktiviti, tidak setuju dengan jumlah kutipan sumbangan dan sebagainya. Sedangkan mereka tidak hadir pun mesyuarat. Ini dilema paling besar,” tegasnya.

Fadli berkata, lebih memburukkan keadaan, ada golongan ibu bapa yang cenderung untuk memperbesarkan sesuatu isu di laman sosial Facebook mahupun di media sosial.

Gara-gara terkilan dengan sikap segelintir ibu bapa, Fadli pernah membuat perkongsian mengenai isu PIBG dalam laman sosial Facebooknya 26 Januari lepas mendapat lebih 3,700 ‘like’, 3,300 perkongsian dan lebih 100 komen.

Dalam perkongsian yang diberi tajuk 'Beza antara Mentaliti Kita' itu, Fadli berkongsikan kesedihan rakannya yang bercerita mengenai sikap berkira 'orang kita' dengan pendidikan anak-anak.

Hanya disebabkan sumbangan RM5 untuk mengecat sekolah, ada golongan ibu bapa dan penjaga ingin melaporkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Menurutnya, majoriti sekolah kebangsaan di negara ini memang begitu.

Antara perbualan WhasApp Fadli dan rakannya mengenai sikap ibu bapa dan penjaga yang berkira untuk menyumbang walaupun hanya RM5.

"Dana PIBG sikit, nak buat program, nak buat keceriaan, nak tambah baik fasiliti kena mohon sumbangan. Bila mohon sumbangan pula, sambutan suam-suam kuku. Yang merungut lebih banyak. Bukan kata nak bantu sekolah anak sendiri, bahkan nak menjatuhkan pula.

Menurutnya, senario berkenaan sangat berbeza dengan SJKC apabila golongan ibu bapa dan penjaga tidak berkira menghulurkan sumbangan untuk pendidikan anak-anak.

"Ini tulisan bukan bermotif politik. Tidak juga bermotif sindiran. Ini satu fakta yang kita kena akui dan ubah segera. Tolong, tolong, tolonglah beri sokongan kepada sekolah anak-anak kalian,” kongsinya.