Puji ketegasan Ketua Polis Negara

Iklan
Abdul Hamid Bador

KEPUTUSAN Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador untuk mengambil tegas terhadap salah laku anggotanya termasuk pegawai kanan yang disyaki mempunyai kaitan dengan penjenayah sindiket judi dalam talian dan Macau Scam yang didedahkan pada Isnin lalu sangat dipuji.

Ini langkah tepat yang perlu diambil secara berterusan kerana sindiket berkenaan sebenarnya barah kronik yang telah membuatkan ramai rakyat Malaysia merana akibat ditipu hingga lebur wang simpanan dan wang pencen.

Iklan
Iklan

Abdul Hamid turut menyatakan pihaknya sudah membuat rombakan besar-besaran melibatkan lebih 20 anggota, pegawai dan pegawai kanan pasukan keselamatan.

Ia sebagai langkah pertama pihaknya dalam mengambil tindakan terhadap anggota yang bersekongkol dengan penjenayah.

Iklan

Ketahuilah bahawa sindiket judi dalam talian dan Macau Scam ini telah membuatkan ramai masyarakat hidup dalam kebimbangan.

Melihat kepada kes-kes yang berlaku sebelum ini, sindiket ini memang tidak mengenal mangsa.

Iklan

Berapa ramai golongan pesara, pekerja kilang, doktor, guru, wanita bujang, petani, suri rumah dan ramai lagi merana hingga ke akhir hayat.

Usaha perit jerih mengumpul wang simpanan untuk menunaikan umrah, haji termasuk mereka yang baru mengeluarkan wang persaraan, wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjadi sia-sia akibat ditipu sindiket yang licik ini.

Sindiket ini walaupun berjaya dipatahkan oleh pihak berkuasa, percayalah ia sentiasa akan cuba dihidupkan penjenayah untuk mencari mangsa baharu.

Bagi rakyat, adalah tidak wajar anggota polis yang dipandang tinggi kerana uniformnya bersekongkol dengan penjenayah dek kerana gelap mata dengan habuan lumayan yang mungkin ditawarkan.

Mana-mana anggota yang disahkan terlibat dengan jenayah ini, ketahuilah anda sepatutnya tidak layak lagi bergelar penjaga keamanan, sebaliknya patut menerima hukuman yang lebih berat.

Kepada Ketua Polis Negara, lakukanlah yang terbaik buat pasukan PDRM agar jenayah licik ini dan pihak yang bersekongkol berjaya dihapuskan.