SAYA amat terharu membaca kenyataan Datin Noor Fuzana Yaakub dalam salah sebuah portal berita. Beliau menceritakan bagaimana Allahyarham suaminya bersusah payah mencari jalan menghantar sebuah rencana yang saya e-mel secara peribadi kepada Allahyarham. Pada masa itu, Allahyarham berada dalam keadaan antara sedar dan tidak, akibat diberikan rawatan (sedated).
Itulah Datuk Baharom Mahusin, yang komitmen dan dedikasi terhadap kerja tidak boleh dipertikaikan. Tahap profesionalisme beliau memang terpuji. Walaupun beliau tidak bertanggungjawab secara langsung dengan program Bicara Minda yang saya menjadi hosnya, tetapi sebagai Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian saya akan selalu berunding dengan beliau. Selama hampir dua tahun saya menjadi hos Bicara Minda bermula pada bulan Julai 2018.
Sewaktu saya diminta oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd yang juga Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub untuk mengendalikan program Berani Semuka, saya dan Baharom sering bertemu untuk memperhalusi program itu. Sewaktu wakil Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim diberikan taklimat program itu, Baharom turut bersama.
Saya masuk ke Utusan Melayu sebagai Ketua Pengarang 28 tahun yang lalu. Baharom baru setahun di situ, menjadi rookie reporter. Beliau menjadi karyawan Utusan Melayu pada tahun 1991. Tetapi saya melihat sesuatu yang istimewa pada beliau. Beliau yang merupakan graduan Kursus Penulisan Kreatif dan Deskriptif (sebelum menjadi Pengajian Media) Universti Malaya menampakkan kekuatan yang sendiri dalam laporan dan tulisannya.
Saya sering berbincang dengan Timbalan saya ketika itu, Datuk Khalid Mohd, tentang usaha untuk mengenal pasti bakat yang berpotensi. Bagi saya bukan sahaja ada keperluan mencari wartawan pelapis tetapi juga untuk mempersiapkan pimpinan editorial masa depan. Salah satu nama yang kami kenal pasti ialah Baharom.
Malah, pada tahun 1994 apabila syarikat membuat keputusan untuk menghantar seorang wartawan baharu bagi menjadi Wakil Utusan Melayu di London, Khalid mencadangkan nama beliau.
Kedudukan di London itu selalu diperuntukkan bagi wartawan senior tetapi saya bersetuju dengan cadangan Khalid memandangkan itu kesempatan yang baik untuk tujuan pendedahan bagi Baharom. Ternyata kepercayaan kami meletakkan beliau di London tidak dihampakan.
Saya meninggalkan Utusan Melayu pada 14 Julai 1998 ekoran kemuncak krisis Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. ‘Pembersihan besar-besaran’ di mana-mana organisasi media yang dipercayai ‘dekat’ dengan Anwar berlaku.
Selain Utusan Melayu, terdapat perubahan pimpinan editorial di Berita Harian (Datuk Mohd Nazri Abdullah) dan di TV3 (Yunos Said). Namun demikian saya tetap berhubung dengan Baharom, berbual-bual tentang perkembangan terbaru sambil minum kopi entah di warung mana di Kuala Lumpur.
Baharom meneruskan kerjayanya dengan memimpin majalah Massa mulai tahun 2002. Majalah berita mingguan ini merupakan buah tangan Tan Sri Kamarul Ariffin yang menjadi Pengerusi menggantikan Tan Sri Khalid Abdullah pada tahun 1994. Massa pertama kali terbit pada 16 September 1995 di bawah pimpinan Datuk Chamil Wariya. Majalah berbahasa Melayu ini paling banyak memenangi hadiah kewartawanan, bagaimanapun tidak dapat dipertahankan kelangsungannya.
Baharom kemudiannya memimpin akhbar Kosmo! yang mula terbit pada 31 Ogos 2004. Dari tahun 2009 hingga 2018 beliau menjadi teraju Kosmo!. Banyak perubahan yang dilakukannya bagi menyesuaikan Kosmo! dengan perubahan landskap media. Kosmo! menjadi akhbar laris di tangan beliau.
Syarikat Utusan Melayu yang menjadi suara keramat orang Melayu selama 80 tahun (bermula tahun 1939) gulung tikar secara rasmi pada 9 Oktober 2019. Sebelum itu, karyawan Utusan Melayu telah diberhentikan beramai-ramai. Baharom sendiri mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatannya melalui skim pemberhentian kerja secara sukarela (VSS) pada tahun 2017. Beliau menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian bermula pada 1 April 2019.
Dalam beberapa perbincangan dengan saya dan kawan-kawan wartawan beliau amat menyedari tentang budaya akhbar yang dipimpinnya."Sinar Harian bukan Utusan Malaysia atau Kosmo!”, berkali-kali beliau menyebutkan hal itu."Saya harus membuat penyesuaian,” katanya lagi.
Sinar Harian mempunyai reputasinya yang tersendiri dalam dunia kewartawanan tanah air. Sinar Harian dengan motto ‘telus dan tulus’ menjadi conscience karyawan media apabila banyak akhbar, majalah dan stesen TV menjadi Hang Tuah yang setia pada pimpinan politik yang berkuasa.
ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Ketua Pengarang Sinar Harian meninggal dunia
Pemimpin negara ucap takziah kepada keluarga Baharom
Agong zahir ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Baharom
Baharom berjaya angkat Sinar Harian ke tahap membanggakan: Hussamuddin
Sinar Harian mencipta kelainan, dihormati, digeruni malah pada waktu yang sama dibenci. Apabila banyak saluran media yang lain hilang kredibiliti menjelang pilihan raya 2018, Sinar Harian dan beberapa portal berita muncul sebagai suara sebenar rakyat terbanyak, bukan suara elit politik atau mana-mana parti.
Baharom mungkin berwajah manis dengan senyuman yang tidak pernah lekang daripada bibirnya. Tapi bagi orang yang mengenal beliau dari dekat, sedar bahawa beliau degil dan tidak ada kompromi. Bukan sekali dua beliau menghadapi masalah di Massa atau di Kosmo!, dan di Sinar Harian, repustasi independence akhbar itu diperkukuhkannya. Semuanya dalam senyum dan wajah manisnya.
Kalangan politik sedar Sinar Harian ‘tak makan saman’. Sinar Harian terlalu bebas. Sinar Harian tidak memihak pada sesiapa. Sinar Harian menjadi suara kewarasan pada zaman yang keliru. Sinar Harian menatang pendirian bahawa media sebenarnya adalah mata dan telinga rakyat bukan suara dan pencanang apologi pemerintah.
Itulah budaya yang terus dimantapkan oleh Baharom di akhbar itu, tanpa ragu dan takut. Ada pihak yang pasti tidak senang. Meminjam kata seorang pemerhati media,"Sinar Harian dipuji oleh mereka yang mengejar kuasa tetapi dibenci apabila mereka sendiri berkuasa.”
Kali terakhir saya menemui Baharom ialah sewaktu program Concorde Club anjuran akhbar The Star pada 31 Oktober lalu. Tetamu undangan ialah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman. Baharom duduk sebaris dengan Syed Saddiq dan tuan rumah program itu, Datuk Seri Wong Chun Wai. Beliau kelihatan sihat. Dan kami berbual panjang bersama Syed Saddiq, Wong dan Datuk Seri Azman Ujang (mantan Pengerusi Bernama) selepas program itu.
Menurut Datuk Chamil Wariya yang menulis dalam portal VOA Media Network, Baharom pergi ke Teluk Panglima Garang menemui temannya yang menjadi penternak kambing pada petang itu. Beliau dimasukkan ke hospital pada keesokan harinya.
Beliau menghembuskan nafas terakhir pada hari Selasa 17 November.
Sinar Harian yang baru kehilangan Penasihat Eksekutif Editorialnya, Datuk Abdul Jalil Ali pada bulan Ogos lalu, kini kehilangan Ketua Pengarangnya pula. Saya kehilangan seorang kawan, mantan anak buah dan teman wartawan. Negara kehilangan sebutir lagi bintang cemerlang di persada dunia kewartawanan. Al-Fatihah.
*Tan Sri Johan Jaaffar merupakan Tokoh Wartawan Negara. Beliau pernah menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu, Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pengerusi Media Prima Berhad